Posted on: 12/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerja-kerja membaik pulih menara telekomunikasi yang terbakar di Taman Terendak Permai, Sungai Udang di sini,  selesai sepenuhnya pada 9 Okt lepas.

Jabatan Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan kerja-kerja membaik pulih berkenaan selesai empat hari lebih awal daripada yang dijadualkan.

“Kerja-kerja baik pulih yang dijalankan melibatkan penggantian peralatan di dalam kabin, pemasangan pendawaian dan antena baharu.

“Pengguna setempat yang sebelum ini mengalami gangguan akibat kejadian itu, kini dapat menikmati semula rangkaian komunikasi dan liputan internet seperti sedia kala,” menurut kenyataan itu.

MCMC turut merakamkan penghargaan kepada semua penyedia perkhidmatan yang komited dalam melaksanakan kerja-kerja baik pulih menara komunikasi milik Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) itu, yang dikendalikan syarikat U-Mobile dan YTL.

Sebelum ini Bernama melaporkan antara kawasan terjejas ialah Taman Terendak Permai, Taman Sri Terendak, Taman Bukit Terendak, Taman Pahlawan, Kampung Sungai Udang, Pekan Sungai Udang, Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Taman Desa Tun Razak dan Taman Peruna.

Sumber: BERNAMA