Posted on: 12/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Terengganu dijangka menerima taburan hujan lebih lebat bermula akhir bulan ini, yang berisiko mengakibatkan banjir di kawasan rendah dan penempatan berdekatan sungai.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Hanafiah Mat berkata berdasarkan data taburan hujan yang direkodkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kebiasaannya Terengganu menerima sekitar 3,000 milimeter (mm) hujan setiap tahun.

“Namun kali ini taburan hujan dijangka mencecah 3,400mm hingga 3,600mm. Setakat ini catatan taburan hujan ialah hampir 2,000mm dengan kadar hujan yang turun dalam sehari sekitar 80mm.

“Jika taburan hujan menjangkau 300 hingga 400mm sehari, situasi banjir mungkin akan berlaku seperti di Gunung Jerai, Kedah (baru-baru ini) iaitu berlaku banjir disebabkan fenomena kepala air,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses penghantaran barangan ke pengkalan hadapan Pulau Redang di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dekat Chendering di sini hari ini.

Sebanyak empat metrik tan bekalan makanan dihantar untuk 250 keluarga penduduk di Pulau Redang sebagai persediaan menghadapi banjir kali ini.

“Bekalan keperluan makanan ini hanya mencukupi untuk tempoh tiga hingga lima hari. Jika tidak mencukupi, kerajaan negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melakukan penghantaran bekalan fasa kedua,” katanya.

Sementara itu Hanafiah berkata kerajaan negeri juga menyediakan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam menghadapi banjir semasa menangani COVID-19.

“Bilik khas saringan awal akan disediakan di PPS bagi menempatkan mangsa banjir bergejala dari zon merah. Sekiranya didapati positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sumber:BERNAMA