Posted on: 12/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini melancarkan projek perintis Wi-Fi percuma dan transaksi tanpa tunai (e-dompet Boost) di Astaka Bandar Perda bagi menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai di semua pasar awam dan kompleks makanan di Pulau Pinang.

Datuk Bandar MBSP Datuk Rozali Mohamud berkata kemudahan Wi-Fi percuma tersebut boleh digunakan oleh semua peniaga dan pengunjung Astaka Bandar Perda secara percuma tanpa sebarang syarat dan boleh diakses oleh 150 pengguna pada satu-satu masa dengan kelajuan 50 mbps tanpa had kuota.

“Tanpa kemudahan Wi-Fi percuma, transaksi dalam talian agak sukar untuk dijalankan kerana mungkin ada pihak yang tidak melanggani pelan Internet peribadi. Ia merupakan  satu daripada usaha kita untuk mengekang penularan wabak COVID-19 daripada terus merebak,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo hari ini.

Beliau berkata setakat 11 Oktober, sebanyak 23 daripada 42 gerai (54.76 peratus) telah selesai mendaftar di bawah program ini dan pihak Boost sedang dalam proses mengumpul dokumen bagi pendaftaran peniaga-peniaga lain di astaka itu. 

“Melalui program ini, MBSP telah mewajibkan semua peniaga di sini supaya membuat pendaftaran dan menggunakan perkhidmatan e-dompet Boost dalam urusan perniagaan. Boost juga menawarkan insentif tunai RM50 kepada peniaga yang berjaya berdaftar,” katanya.

Selain Boost, MBSP telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat Mutiara Smart Sdn. Bhd. (MSSB) bagi menyediakan perkhidmatan Wi-Fi percuma itu.

Sumber: BERNAMA