Posted on: 13/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dan boleh menyebabkan kejadian banjir,  dijangka berlaku dalam fasa awal Monsun Timur Laut iaitu dari November ini hingga Januari 2022.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata tempoh Monsun Timur Laut 2021/2022 diramal bermula pada awal November ini sehingga Mac 2022. 

“Di Kelantan, Terengganu dan Pahang, episod hujan lebat berlaku antara November hingga Disember 2021. Sementara, mulai Disember 2021 hingga Januari 2022, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata semasa luruan udara sejuk yang kuat, ia juga boleh mempengaruhi keadaan cuaca negeri-negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia dan jangkaan jumlah hujan tertinggi semasa Monsun Timur Laut adalah pada November dan Disember ini di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Muhammad Helmi berkata pada November dan Disember ini, Kelantan dan Terengganu dijangka menerima taburan hujan sedikit melebihi purata iaitu antara 450 mm hingga 1,000 mm.

“Sementara pada Januari hingga Mac 2022 secara amnya, semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dijangka menerima hujan pada paras purata kecuali di pedalaman dan barat Sarawak serta timur Sabah yang dijangkakan menerima hujan sedikit melebihi purata pada Januari iaitu antara 350 mm hingga 950 mm,” katanya. 

Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan Met Malaysia semalam menganjurkan Forum Iklim Kebangsaan (FIK): Monsun Timur Laut 2021/2022 dengan tema ‘Cabaran dan Persediaan Norma Baharu’ yang bertujuan memperkasakan persediaan pihak pengurusan bencana dalam mengadaptasi norma baharu.

Menurut Muhammad Helmi,  FIK itu merupakan satu platform perbincangan jabatan dan agensi utama yang terlibat dalam pengurusan bencana bertujuan memastikan kesiapsiagaan pelbagai pihak dalam menghadapi Monsun Timur Laut.

“Objektif utama penganjuran FIK tahun ini adalah lebih kepada perkongsian maklumat mengenai peranan dan tanggungjawab agensi-agensi pengurusan bencana yang turut terkesan dengan situasi pandemik serta persediaan dan perancangan menghadapi Monsun Timur Laut dalam norma baharu,” katanya. 

Sumber: BERNAMA