Posted on: 13/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), operator perkhidmatan tren KLIA Ekspres dan KLIA Transit hari ini melancarkan aplikasi baharu KLIA Ekspres dan program kesetiaan EkspreSmiles untuk pengalaman dan nilai pengguna yang lebih baik kepada pelanggan.

Aplikasi KLIA Ekspres itu membolehkan pelanggan membeli tiket tren mereka dengan lebih mudah dan meneroka tawaran lebih baik dengan ciri-ciri seperti ‘Lowest Fare First’ dan  ‘Great Value  Recommendations’ manakala EkspreSmiles memberi mata kepada pelanggan untuk setiap tempahan yang berjaya dibuat dan menebusnya untuk menikmati diskaun pada pembelian akan datang.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika melancarkan inisiatif berkenaan secara maya semalam berkata pandemik COVID-19 telah mewujudkan penekanan terhadap amalan digital dan tanpa tunai dalam transaksi harian termasuk pengangkutan awam.

“Penggunaan teknologi untuk meningkatkan gaya hidup dan pengalaman perjalanan dilihat amat menggalakkan, daripada aplikasi super, e-dompet kepada platform e-dagang. Semua kemajuan ini telah memberikan kemudahan, penjimatan dan ganjaran lebih besar kepada kita,” katanya.

Wee berkata ERL adalah perkhidmatan kereta api pertama di Asia Pasifik yang menerima pembayaran tanpa sentuhan Visa di pintu masuknya pada 2010, melancarkan aplikasi mudah alih pada 2013 dan kini menerima hampir semua e-dompet dan digital di kaunter dan dalam talian.

Ketua Pegawai Eksekutif ERL  Noormah Mohd Noor berkata dengan kemajuan teknologi kini, ERL perlu menambah baik kaedah  pembelian dan pengalaman perjalanan pengguna dengan menyediakan ciri-ciri dan nilai yang lebih baik serta memberi ganjaran menerusi program kesetiaan EkspreSmiles yang baharu.

“Dengan kelonggaran sekatan perjalanan bermula minggu ini, lebih ramai orang boleh melakukan perjalanan untuk urusan perniagaan, kerja dan riadah jadi kami harap pelancaran ini tepat pada masanya agar orang awam dapat menggunakan pengangkutan awam semula dan memperoleh manfaat daripada aplikasi ini,” katanya.

Noormah berkata matlamat ERL ialah untuk mencapai 60 peratus transaksi tanpa tunai tahun lepas, namun pandemik telah menjejaskan sasaran itu, justeru mereka berharap dapat mencapai sasaran berkenaan menjelang awal tahun hadapan dengan aplikasi baharu itu.

Penggunaan tanpa tunai ERL pada masa ini ialah 55 peratus, peningkatan 16 peratus pada empat tahun lepas, katanya.

Semasa tempoh kempen dari 12 Okt hingga 15 Dis, pelanggan akan mendapat mata berganda apabila mendaftar sebagai ahli EkspreSmiles dan menikmati mata berganda untuk pembelian tiket. Mata bonus pula diperoleh apabila membeli pakej dan tambang yang diberi diskaun tertentu seperti ‘Family Package’ dan ‘Group Saver’.   

Sumber: BERNAMA