Posted on: 13/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sebanyak 18,850 penduduk di daerah Tawau, Semporna serta Kunak menerima manfaat dengan pembinaan enam menara komunikasi baharu yang telah beroperasi sepenuhnya di daerah terbabit menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi kenyataan memberitahu kampung terbabit adalah Kampung Bukit Qouin Ladang Sungai Kawah serta Kampung Tamang Pulau Sebatik di Tawau, Kampung Kabimbangan dan Kampung Igang-Igang di Semporna selain Kampung Kunak 3 dan Kampung Telaga Tujuh di Kunak.

“Penduduk terbabit kini boleh menikmati perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G yang lebih pantas dan berkualiti dengan menara komunikasi itu beroperasi sejak 30 Julai lepas,” menurut kenyataan itu hari ini.

Menurutnya kerja-kerja pembinaan dan pemasangan alat pemancar kini giat dilakukan di tiga lagi tapak menara komunikasi di Tawau iaitu Kampung Iban Kuala Nangsang, Kampung Sungai Udin Sabah Softwood serta Kampung Skim Mesej Ladang Sungai Labah, Sebatik yang dijangka siap menjelang Disember tahun ini. 

Sebanyak 16,480 premis melibatkan kawasan perumahan, industri,  komersial serta jabatan kerajaan di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu telah disediakan akses kepada perkhidmatan jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi.

“Manakala 2,051 premis lagi masih dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap pada Mac 2022,” katanya.

Di samping itu, bagi meningkatkan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pula, sebanyak 467 stesen pemancar sedia ada sudah dinaik taraf kepada teknologi 4G, manakala sebanyak 415 stesen pemancar lain sedang dinaik taraf secara berperingkat dan boleh dimanfaatkan oleh penduduk Tawau serta daerah sekitar pada Mac tahun depan.

Sementara itu, katanya 21 lokasi pelaksanaan perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit (VSAT) giat dilaksanakan membabitkan daerah Tawau (lapan), Semporna (dua),  Kunak (tiga) dan Lahad Datu (lapan) yang bakal siap pada Januari tahun depan.

Tambah kenyataan itu, kesemua pelaksanaan inisiatif di bawah JENDELA berkenaan dapat membantu penduduk di daerah terlibat meningkatkan kemahiran diri selari dengan era digital yang berkembang. 

Sebarang semakan atau aduan kepada pihak penyedia perkhidmatan boleh dilakukan dengan melayari JENDELA Map di pautan https://jendela.my

Sumber: BERNAMA