Posted on: 13/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ketereh akan menyediakan kemudahan e-Tuisyen kepada pelajar sekolah di  kawasan Parlimen itu bagi mendedahkan mereka dengan kaedah pembelajaran yang lebih baik menggunakan teknologi maklumat terkini.

Setiausaha UMNO Bahagian Ketereh Ahmad Termizi Musa berkata program yang dijadual bermula tahun ini, akan diuruskan sepenuhnya oleh pusat khidmat Ahli Parlimen tersebut.

“Selain itu kami juga merancang menjadikan Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) sebagai Pusat Internet dan Digital Ekonomi Keluarga Malaysia dengan memiliki capaian internet yang tinggi,” katanya selepas menyempurnakan majlis serahan sumbangan wang tunai dan bakul makanan kepada 108 penerima di YKK, di sini semalam.

Sementara itu, Ahmad Termizi  yang  juga Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata masalah capaian Internet di Parlimen tersebut dijangka selesai menjelang Disember ini.

Katanya ia menerusi komitmen diberikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Kelantan hasil pertemuan diadakan minggu lalu.

Dalam pada itu, seorang bakal pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Ahmad Mukhlis Mustaffa, 20, berkata komitmen kerajaan dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ketereh mengatasi masalah capaian Internet di kawasan tersebut amat dihargai.

“Saya bersyukur kerana masalah capaian internet di kawasan ini telah dimaklumkan kepada MCMC dan diharapkan dapat diatasi dengan cepat bagi membantu melancarkan kehidupan harian yang kini banyak bergantung kepada capaian Internet dan data,” katanya.

Sumber: BERNAMA