Posted on: 14/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Syarat  yang ditetapkan kepada individu ingin memasuki Sarawak ketika ini adalah bertujuan melindungi penduduk negeri itu daripada virus COVID-19.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan semalam memaklumkan pihaknya mengambil maklum bahawa orang ramai berharap kelonggaran penuh dapat diberikan tanpa sebarang permohonan bagi kemasukan ke negeri itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut terdapat sebab-sebab tertentu mengapa Sarawak masih mengekalkan syarat seperti perlu menjalani saringan COVID-19 sebelum memasuki negeri tersebut. 

“Sebanyak 106 kes import B (kes berpunca dari negeri lain akibat daripada aktiviti rentas negeri) telah dikesan di Sarawak pada Ogos 2021 manakala 83 kes import B dikesan pada September 2021 dan kes-kes ini dikesan semasa dalam tempoh kuarantin selepas memasuki Sarawak dari negeri lain.

“Terdapat banyak lagi kes yang telah dikesan positif sebelum permohonan kemasukan ke Sarawak. Syarat saringan sebelum kemasukan ke Sarawak ini telah membantu mengurangkan risiko penyebaran dalam pesawat dan melindungi penumpang dalam pesawat yang sama,” menurut kenyataan itu.

Pada 10 Oktober lepas, JPBN memaklumkan bahawa Sarawak membenarkan individu lengkap vaksinasi COVID-19 memasuki negeri itu tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula 11 Okt selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, individu yang ingin memasuki Sarawak masih perlu membuat permohonan di laman EnterSarawak, menyertakan bukti status ‘lengkap vaksinasi’ dan keputusan ujian Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR) atau Rapid Antigen (RTK-Ag) negatif yang sah untuk 3 hari sahaja.

JPBN turut memaklumkan individu yang ingin memohon untuk memasuki Sarawak boleh membuat ujian RTK-Ag di fasiliti kesihatan kerajaan dengan kos RM60 dan keputusannya diperoleh dengan cepat.

“Bagi mereka yang terpaksa membuat permohonan semula EnterSarawak (dan melebihi tempoh sah laku ujian COVID-19) disebabkan penukaran penerbangan oleh syarikat penerbangan, mereka boleh sertakan bukti penukaran penerbangan bagi pertimbangan urus setia EnterSarawak,” katanya.

Sumber: BERNAMA