Posted on: 15/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

PETRONAS melalui anak syarikatnya, Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB), menyumbang 100 tablet kepada pelajar-pelajar sekolah
rendah daripada keluarga yang berkelayakan di kawasan Sungai Udang dan Pantai Kundur di sini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MRCSB Khairol Anuar Shukri berkata tablet berkenaan diedarkan kepada murid daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, SK Pantai Kundor, SK Kampong Gelam, SK Kem Gerakhas dan Sekolah Rendah Islam (SRI) Annuriah Addiniah.

“COVID-19 telah mendatangkan cabaran dan kesan yang berbeza kepada semua orang. Ada segelintir daripada kalangan masyarakat yang terpaksa menghadapi kehidupan seharian yang lebih mencabar dalam norma baharu ini.

“Kami bersyukur kerana dapat bersama-sama membantu pelajar-pelajar di sini agar mempunyai akses yang lebih baik terhadap proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Semoga bantuan ini dapat membantu bagi meringankan beban mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.’

Beliau berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi sumbangan syarikat, persatuan kakitangan serta Badan Kebajikan Islam PETRONAS (BAKIP), Persatuan Isteri-Isteri Kakitangan dan Kakitangan Wanita PETRONAS (PETRONITA), Young Professional Club (YPC) dan kakitangan MRCSB.

“MRCSB akan terus komited dalam membantu mereka yang memerlukan bantuan di masa hadapan,” katanya.

Sumber: BERNAMA