Posted on: 15/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Usahasama kerajaan negeri Perak dengan platfrom e-dagang terkemuka Asia Tenggara Lazada dapat menggalakkan penggunaan platform itu di samping meningkatkan hasil jualan pengusaha mikro kecil dan sederhana (PMKS) di Perak.

Lazada dalam kenyataan semalam memaklumkan usahasama itu dilaksanakan menerusi Karnival STeP Lazada yang diadakan pada 15 Okt hingga 31 Dis dalam mempromosikan perniagaan dan produk dari Perak menerusi laman khas Shop Malaysia Online di aplikasi berkenaan.

“Lazada akan membawakan pelbagai tawaran eksklusif, baucar platform dan baucar penghantaran percuma dengan matlamat meningkatkan kunjungan dan jualan di gedung dalam talian mereka.

“Penjual baharu di Perak juga layak untuk menyertai inisiatif Start It Up, Laz It Up kelolaan Lazada, dan berpeluang memenangi hadiah bernilai AS$10,000 jika mereka melancarkan gedung (jualan) di pasaran Lazada dalam mod jualan aktif sebelum 30 Oktober,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Perak Datuk Zainol Paharudin berkata pandemik yang berlaku telah menjejaskan ekonomi dan memberi kesan kepada banyak perniagaan.

“Menerusi kerjasama yang berkesan antara sektor awam dan swasta seperti kerjasama kami (kerajaan negeri) dengan Lazada untuk Karnival STeP, kami berhasrat untuk menggiatkan lagi transformasi digital Perak supaya bersedia memenuhi aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia Nadi Digital ASEAN,” katanya.

Sumber: BERNAMA