Posted on: 16/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sabah layak beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara  (PPN) berkuat kuasa Isnin ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Masidi memaklumkan perkara itu melalui laman sosial Twitternya semalam dan berdasarkan laman sesawang PPN, tiga indikator utama penentuan nilai ambang PPN ialah purata kes harian COVID-19, penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi dan peratusan populasi layak yang divaksinasi sepenuhnya.

“Sabah layak beralih ke Fasa 3, Pelan Pemulihan Negara berkuatkuasa 18.10.2021,” katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Masidi berkata daripada 720 kes baharu COVID-19 direkodkan hari ini, 96.25 peratus adalah kategori satu dan dua, manakala bakinya kategori tiga, empat dan lima.

Beliau berkata daripada jumlah kes direkodkan hari ini juga,  253 kes atau 35.14 peratus  dikesan melalui saringan bergejala sekali gus menunjukkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan penduduk belum begitu memuaskan.

“Walaupun agak sukar untuk meramalkan trend perubahan kes bagi daerah-daerah di Sabah dalam masa terdekat, namun, trend kumulatif jangkitan dalam tempoh 14 hari menampakkan trend pelandaian,” katanya.

Sumber: BERNAMA