Posted on: 25/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Semua kementerian dan agensi kerajaan sama ada di peringkat persekutuan, negeri mahupun kerajaan tempatan, penggubal serta pengawal selia polisi dan peraturan diseru untuk bertindak lebih proaktif dalam membuat semakan terhadap peraturan sedia ada.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata semakan peraturan hendaklah dilaksanakan agar ia kekal relevan dan menyokong pertumbuhan produktiviti.

“Para pengawal selia amat disarankan untuk membuat semakan terhadap akta dan peraturan yang berkuat kuasa, dan ini bertitik tolak daripada transformasi minda ke arah penambahbaikan penyampaian peraturan, pematuhan serta memudah cara urusan operasi perniagaan.

“Sebagai jentera pembangunan Keluarga Malaysia, penjawat awam hendaklah mempunyai minda terbuka dan positif dalam menerima dan melaksanakan pembaharuan yang membawa kepada kemakmuran negara,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen Jom Semak, secara maya di sini hari ini.

Beliau berkata kempen Jom Semak adalah kesinambungan kepada pelaksanaan Dasar Negara Bagi Amalan Baik Peraturan melalui Pekeliling Bilangan 1 Tahun 2021 bertajuk Dasar Negara Bagi Amalan Baik Peraturan dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri pada 22 Jun 2021.

“Usaha ini adalah komitmen kerajaan untuk menambah baik ekosistem peraturan negara meliputi penghasilan dan penguatkuasaan peraturan yang berkualiti, lebih komprehensif, tangkas serta responsif dalam memenuhi keperluan masa kini dan akan datang,” katanya.

Mohd Zuki berkata inisiatif ini bertepatan dengan Pelan Pemulihan Negara serta aktiviti ekonomi semakin rancak dan peraturan yang berkualiti akan menambah baik persekitaran perniagaan seterusnya membolehkan syarikat beroperasi dengan lancar.

“Kita menganggarkan lebih 1,000 pengawal selia akan mendapat manfaat daripada kempen ini, dan seterusnya membawa kesan berganda kepada komuniti perniagaan dan rakyat secara keseluruhan.

“Sama-samalah kita bertindak dengan lebih progresif agar negara kita bergerak ke hadapan dengan lebih cepat dalam proses pemulihan ekonomi ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA