Posted on: 25/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kesedaran soal kesihatan mental perlu dititikberatkan dalam kalangan masyarakat khususnya ahli keluarga agar dapat dikesan lebih awal dan langkah pencegahan dapat diambil, titah Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris, hari ini. 

“Perhatian lebih berat perlu diberikan terhadap isu kesihatan mental kerana ia boleh dibantu dan kesan buruknya dicegah, bermula daripada kalangan ahli keluarga kita sendiri atau anggota masyarakat sekeliling kita.

“Saya berharap masyarakat menyedari bahawa ada badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa sedia menolong mereka yang merasa gelisah  atau sedang menghadapi masalah-masalah peribadi melalui panggilan telefon, seperti Samaritan, misalnya,” titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Seminar Mind X dan Seminar Virtual Psikologi & Kaunseling Sempena Sambutan Bulan Kaunseling Peringkat Negeri Johor yang diadakan secara maya di sini.

Menurut Raja Zarith Sofiah, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan juga memberi kesan kepada kesihatan mental pelbagai lapisan masyarakat.

“Peraturan-peraturan ini, walaupun bertujuan melindungi kita daripada bahaya pandemik ini, turut dilihat sebagai kekangan yang menyukarkan kita menjalani kehidupan seharian yang telah biasa kita nikmati.

“Ramai dalam kalangan rakyat telah kehilangan kerja atau punca pendapatan dan menghadapi kesulitan kewangan. Keadaan ini amat mencabar, terutamanya dari aspek kesihatan mental,” titah baginda.

Sumber: BERNAMA