Posted on: 26/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Seramai 176 orang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Melaka, Selangor dan Kedah setakat 9 pagi hari ini. 

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Lt Kolonel Cuthbert John Martin Quadra berkata empat orang daripada dua keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal. 

Beliau berkata penduduk terlibat masih berada di PPS berkenaan disebabkan bekalan elektrik ke rumah mereka belum disambung, namun kerja-kerja penyambungan dijangka selesai hari ini.

Di SELANGOR, portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara memaklumkan terdapat 32 orang daripada sembilan keluarga berada di dua PPS di Sepang iaitu Sekolah Rendah Agama Kampung Giching (31 orang) dan Balai MPKK Kampung Giching (seorang).

Sementara itu, di KEDAH seramai 140 orang daripada 36 keluarga masih berlindung di PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah dekat Pendang yang dibuka sejak Ahad. 

Sumber: BERNAMA