Posted on: 26/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian oleh pelbagai syarikat di negara ini meningkat pada suku kedua 2021 iaitu 90,502 berbanding 90,218 pada suku pertama 2021, dan 19,169 pada suku kedua 2020, menurut Analisis Data Raya ‘Job Market Insights’ dan ‘My Job Profile’: Lanskap Penawaran Pekerjaan di Malaysia, bagi suku kedua 2021.

Mengulas analisis data raya yang dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed itu hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu melangkaui jumlah kekosongan jawatan yang diiklankan pada suku keempat 2019 iaitu 90,437, sebelum Malaysia berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Beliau berkata berdasarkan kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian pada suku kedua 2021 itu, didapati sebilangan besar majikan memerlukan pekerja dalam kategori profesional iaitu 50.8 peratus, diikuti pekerja kategori juruteknik dan profesional bersekutu (19.2 peratus) dan pengurus (18.4 peratus).

“Lima pekerjaan paling popular yang diiklankan oleh majikan adalah profesional pengiklanan dan pemasaran, profesional bersekutu pentadbiran, pengarah urusan dan ketua eksekutif, akauntan dan juruaudit serta pembangun perisian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dari perspektif sektor ekonomi pula, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal menjadi sektor utama yang menyumbang kepada penawaran pekerjaan bagi pencari kerja, iaitu 18.5 peratus pada suku kedua 2021 itu.

Empat lagi sektor yang termasuk dalam senarai lima sektor dengan penawaran pekerjaan tertinggi pada suku kedua 2021 ialah pembuatan (18.1 peratus), perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal (17.9 peratus), aktiviti kewangan dan insurans/takaful (8.0 peratus) dan  aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman (3.5 peratus).

Mohd Uzir berkata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) mencatatkan jumlah penawaran pekerjaan tertinggi secara dalam talian pada suku kedua 2021 iaitu 46.6 peratus, diikuti Selangor (19.6 peratus), Johor (7.1 peratus), Pulau Pinang (6.2 peratus) dan Perak (1.4 peratus).

Dalam tempoh itu, Kuala Lumpur menawarkan 42,163 pekerjaan diikuti Selangor (17,696), Johor (6,403), Pulau Pinang (5,598) dan Perak (1,277).

“Peningkatan kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian pada suku kedua 2021, memberi gambaran ekonomi negara berada di landasan yang betul ke arah pemulihan pada suku tahun akan datang sekiranya Pelan Pemulihan Negara yang dilaksanakan berjaya mengurangkan impak pandemik dan seterusnya memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Sumber: BERNAMA