Posted on: 27/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Majlis Strok Malaysia (MSC) melancarkan kempen ‘Save Precious Time’ bertujuan meningkatkan kesedaran tentang tanda amaran strok, bersempena dengan Hari Strok Sedunia 2021 yang disambut pada 29 Okt setiap tahun.

Kempen itu diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Strok Sedunia dan organisasi tempatan yang menyokong penyakit strok iaitu Persatuan Kebangsaan Angin Ahmar Malaysia (NASAM).

Naib Pengerusi MSC Dr Wan Asyraf Wan Zaidi berkata kempen itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menghabiskan masa berharga dengan pesakit strok atau angin ahmar.

Beliau berkata kempen tahun lepas berjaya menarik minat lebih lima juta orang dari 31 negara.

“Kami akan menyambut Hari Strok Sedunia ke-15 Khamis ini. Strok masih menjadi penyebab kedua utama bagi kematian dan punca utama kecacatan, di seluruh dunia.

“Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan strok adalah punca ketiga yang utama menyebabkan kematian di Malaysia selepas serangan jantung dan jangkitan paru-paru,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Wan Asyraf berkata ketika menyampaikan mesej Hari Strok Sedunia tahun lepas, satu daripada empat orang akan mengalami strok pada satu ketika dalam tempoh hayat seseorang dan adalah penting untuk bertindak segera terhadap penyakit ini secepat mungkin.

“Rawatan yang tepat pada masanya menyelamatkan nyawa dan boleh meningkatkan kesembuhan pesakit,” katanya.

Beliau berkata kebimbangan utama timbul apabila kebanyakan orang tidak dapat mengenal pasti tanda-tanda awal strok dan ini adalah perkara biasa dilihat di Malaysia.

“Kami berharap untuk mencapai jumlah maksimum penyertaan tahun ini daripada orang ramai di seluruh dunia termasuk Malaysia untuk menangani strok yang telah diisytiharkan sebagai darurat kesihatan awam sejak 2010,” kata Dr Wan Asyraf yang juga pakar neurologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Menurut Dr Wan Asyraf yang terpilih menyertai Program Pemimpin Masa Depan Bagi Penyakit Strok, Pertubuhan Strok Sedunia (WSO FLP) kohort pertama, kempen ‘Save Precious Time’ itu akan berlangsung selama dua tahun hingga 2022.

Beliau berkata apabila seseorang diserang strok, setiap detik amat penting kerana tisu otak dan berjuta sel saraf mula hilang.

“Kami mahu menyampaikan apa yang boleh diselamatkan: satu kehidupan, yang juga kehidupan yang bebas, berkualiti dan kenangan berharga,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Asyraf berkata jawatankuasa MSC telah bekerjasama dengan NASAM dan ANGELS Initiative Malaysia untuk membangunkan kit kesedaran strok dikenali sebagai PeRMATA atau BE FAST.

“PeRMATA dibangunkan oleh pasukan kami di UKM dan berharap menerusi akronim ini, orang ramai akan dapat mengingati tanda-tanda awal strok dan mendapatkan rawatan segera di hospital dan kami juga berharap dapat memiliki buku kecil pendidikan strok untuk membantu orang ramai dalam mencegah strok,” katanya.

PeRMATA bermaksud Pening atau rasa tidak seimbang, Rabun atau masalah penglihatan, Muka herot, Angkat Tangan (untuk kesan kelemahan), Tutur (untuk kesan masalah pertuturan) dan Angkat Telefon (hubungi 999 (talian tetap)/112 (talian mudah alih) apabila terdapat tanda pertama, catat masa apabila simptom bermula.

Sumber: BERNAMA