Posted on: 27/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sistem Pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) (MyDaftar OKU) yang dilancarkan hari ini bertujuan menambah baik sistem pendaftaran sedia ada yang menggunakan platform Sistem Maklumat OKU (SMOKU).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata sistem berkenaan akan memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan kepada golongan OKU selari dengan Teras Strategik 8: Pelan Tindakan OKU 2016-2022.

Di bawah teras berkenaan, ia menggariskan tentang keperluan mewujudkan pangkalan data OKU dan sistem maklumat yang komprehensif bagi meningkatkan pendaftaran OKU.

“Pendaftaran OKU adalah sangat penting bagi membolehkan kerajaan membuat perancangan yang teliti secara holistik dan dapat menggubal dasar yang bersesuaian dengan keperluan OKU berdasarkan data-data yang tepat dan menyeluruh.

“Justeru, saya mengangkat perkara ini sebagai KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang penting bagi memastikan golongan OKU tidak tercicir daripada perhatian dan sokongan kerajaan selaras dengan slogan Keluarga Malaysia,” katanya dalam ucapan pada pelancaran MyDaftar OKU di sini.

Dalam sidang media selepas pelancaran itu, Rina berkata  menerusi MyDaftar OKU, pihaknya menyasarkan sebanyak 2,000 permohonan pendaftaran OKU akan diluluskan dalam bulan hadapan  dengan pemohon  akan diberikan  kad OKU digital dalam bentuk Kod QR yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan terlebih dahulu sebelum kad OKU secara fizikal diberikan.

Katanya, ini akan memudahkan akses golongan OKU kepada semua kemudahan dan perkhidmatan yang menggunakan aplikasi Kod QR.  

“Banyak kelebihan dan bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh golongan OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan terdapat 32 manfaat yang ditawarkan pelbagai pihak sama ada sektor kerajaan mahupun swasta yang akan diperoleh oleh OKU yang berdaftar,” katanya.

Antara manfaatnya adalah bantuan kewangan JKM mengikut syarat dan kelayakan semasa, pelepasan atau pengecualian cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri, Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU di bawah Kementerian Sumber Manusia, pengurangan tambang pengangkutan awam dan  program bantuan pelajar OKU di sekolah.

Rina berkata sehingga 30 September lepas, seramai 582,944 OKU di negara ini telah berdaftar di bawah JKM. 

Sumber: BERNAMA