Posted on: 28/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

SOALAN: Ini merupakan belanjawan kedua yang dibentangkan ketika negara masih berdepan cabaran pandemik COVID-19. Dengan konsep Keluarga Malaysia yang Datuk Seri perkenalkan, rakyat tertunggu-tunggu apakah bentuk Bajet 2022. Apa yang Datuk Seri dan kerajaan fikirkan ketika merangka Bajet 2022 dan apa yang ingin dicapai dengan belanjawan ini. 

JAWAPAN: Dalam merangka Bajet 2022, kerajaan sentiasa meletakkan Keluarga Malaysia sebagai keutamaan. Oleh itu, persediaan Bajet 2022 mengambil pendekatan senegara atau “whole-of-nation”, dan berteraskan tiga prinsip Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Melalui proses yang telus dan menyeluruh, Bajet 2022 akan memastikan kesinambungan bantuan-bantuan kerajaan, terutamanya bagi membantu Keluarga Malaysia yang masih terkesan termasuklah perniagaan.

Masih ramai yang memerlukan bantuan dan ini akan diteruskan oleh kerajaan. 

Sebagai konteks kepada Bajet 2022: 

a. Pertama sekali, kita menjangkakan bahawa tahun ini (2021) pada asalnya adalah tahun pemulihan. Namun, susulan penularan varian yang lebih merbahaya seperti Delta, situasi pandemik COVID-19 menjadi lebih mencabar, menyebabkan keadaan negara merosot selepas pembentangan Bajet 2021. Akibat daripada ini pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) bagi 2021 yang pada mulanya diunjurkan untuk tumbuh antara 6.5 ke 7.5 peratus, telah disemak semula kepada tiga hingga empat peratus. 

b. Kedua, berikutan usaha dan langkah segera kerajaan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang didokong oleh pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kita sudah mula melihat tanda-tanda pemulihan baru-baru ini, terutamanya kadar penggunaan wad ICU (Unit Rawatan Rapi) yang semakin menurun serta peralihan lebih banyak negeri kepada Fasa 3 dan 4 PPN. Oleh itu, ekonomi negara dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini, dan akan menjadi landasan bagi pemulihan ekonomi negara pada tahun 2022.  

c. Ketiga, perancangan Bajet 2022 akan dirangka dengan memberikan tumpuan kepada strategi 3M iaitu Memulih Kehidupan, Membina Semula Daya Tahan dan Memangkin Pembaharuan.

d. Pada masa yang sama, kerajaan akan terus komited dalam membantu rakyat yang masih terjejas, serta menyokong kelangsungan perniagaan.  Seperti yang saya sebutkan sebentar tadi, seiring dengan pembukaan ekonomi sepenuhnya pada tahun 2022, kerajaan akan memberikan tumpuan kepada strategi 3M iaitu: 

a. Memulih Kehidupan, iaitu langkah-langkah dalam melindungi dan memulih kehidupan dan mata pencarian rakyat, memacu pemulihan bagi sektor ekonomi terutamanya sektor yang terjejas seperti pelancongan dan peruncitan, membantu golongan rentan, wanita, orang asli dan orang kurang upaya serta menjana peluang pekerjaan; 

b. Membina Semula Daya Tahan, terutamanya dalam mengukuhkan sistem kesihatan negara, mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi dalam sistem pendidikan dan sektor perniagaan, penekanan kepada IR 4.0 dan transformasi digital, serta meningkatkan keupayaan modal insan negara. Selain itu, Bajet 2022 juga akan mengkaji kaedah untuk membina semula ketahanan fiskal negara; dan 

c. Memangkin Pembaharuan. Ini termasuklah dengan penumpuan ke arah mencapai matlamat SDG, RMK12 (Rancangan Malaysia ke-12) dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, meningkatkan kecekapan sistem penyampaian awam serta penekanan unsur kelestarian (ESG) dalam perkhidmatan awam, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan meningkatkan kerjasama dengan pertubuhan masyarakat sivil sebagai rakan pembangunan negara. 

SOALAN : Malaysia kini memasuki fasa pemulihan ekonomi selepas menghadapi krisis kesihatan paling buruk.  Menurut kenyataan Pra-Bajet 2022, kerajaan akan meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan ekonomi negara. Apakah antara yang mungkin menarik perhatian dalam belanjawan kali ini?     

JAWAPAN : Seperti yang kita ketahui, semenjak pandemik COVID-19 melanda negara, beberapa sektor memerlukan lebih perhatian kerana terjejas teruk. Contohnya, sektor pelancongan dan peruncitan yang tidak dapat beroperasi susulan pelaksanaan semula PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pada bulan Mei, dan Fasa 1 PPN semenjak 1 Jun.

Oleh itu, wajar bagi kerajaan supaya meneruskan bantuan kepada rakyat dan perniagaan, seperti yang dizahirkan melalui lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini yang berjumlah RM530 bilion. 

Jika bantuan dihentikan terlalu awal, ini mungkin mengganggu momentum pemulihan ekonomi yang dapat kita lihat baru-baru ini.

Bajet 2022 akan terus menyokong pemulihan negara melalui dasar fiskal yang mengembang, dan ini dirangka berdasarkan tiga keperluan utama iaitu: 

a.  Pertama, meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui PPN. 

b.  Kedua, menentukan kesinambungan dasar dan bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian dan kehidupan rakyat dan perniagaan.

c.  Ketiga, memangkinkan pembaharuan pasca-pandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan. 

Selain itu, Bajet 2022 juga akan menumpukan usaha untuk membantu golongan rentan, wanita, orang asli dan kurang upaya supaya tidak terpinggir dalam agenda pemulihan dan pembangunan negara.

Usaha berterusan bagi melindungi dan mencipta peluang pekerjaan baharu akan terus dijadikan keutamaan. Oleh itu, yang amatlah penting juga bahawa melalui Bajet 2022 ini, kerajaan akan berusaha untuk memastikan keterangkuman, iaitu tiada pihak yang layak akan tercicir, sama ada golongan rakyat mahupun perniagaan, dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan terutamanya pihak yang terjejas teruk rentetan PKP. 

SOALAN: Menerusi konsep Keluarga Malaysia adakah sebarang bentuk bantuan tunai berkala yang akan diberikan kepada golongan sasar khususnya B50 yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19? 

JAWAPAN: Seperti yang saya nyatakan tadi, kerajaan kekal komited dalam memastikan kesinambungan dasar dan bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan, ini termasuklah bantuan tunai secara langsung kepada Keluarga Malaysia. Seperti yang kita ketahui, melalui pakej-pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini, kerajaan telahpun menyalurkan bantuan tunai berjumlah RM33 bilion  melalui:

a.    Pertama, BPN: penyaluran RM18.2 bilion, memanfaatkan 10.6 juta penerima B40/M40; 

b.    Kedua, menambahbaik Program BSH (Bantuan Sara Hidup) kepada BPR (Bantuan Prihatin Rakyat) dengan peruntukan RM9.1 bilion bagi 8.4 juta penerima; 

c.  Ketiga, Bantuan Khas COVID-19 bagi B40/M40 dengan peruntukan RM4.6 bilion, yang memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah, termasuklah warga emas dan bujang; 

d.  Keempat, meningkatkan kadar bantuan kebajikan bulanan melalui JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) untuk memanfaatkan > 400,000 penerima. Peruntukan ditingkatkan dari RM1.5 bilion pada tahun 2020 kepada RM2.2 bilion bagi tahun 2021; 

e.  Kelima, melaksanakan program e-PENJANA dan e-BELIA dengan kos keseluruhan pelaksanaan program sebanyak RM800 juta, yang telah memanfaatkan lebih dari 11 juta rakyat dari golongan B40 dan M40, serta 2 juta belia; dan 

f.  Keenam, melaksanakan program Prihatin Kasih dengan peruntukan sebanyak RM100 juta. Program ini memberi kemudahan kepada golongan miskin tegar atau miskin di bandar untuk membeli barangan keperluan asas tanpai tunai bernilai RM100 selama tiga bulan.  

g.  Selain itu, kerajaan telah memperuntukkan RM300,000 bagi setiap Ahli Parlimen di Malaysia bagi Bantuan Bakul Makanan untuk rakyat yang terjejas akibat COVID-19.      

Daripada keseluruhan bantuan tersebut, hampir RM24 bilion atau 73 peratus telah pun disalurkan kepada para penerima yang layak, manakala baki daripada peruntukan akan segera disalurkan dalam masa terdekat. 

Malah baru-baru ini juga, saya telahpun mengumumkan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) bernilai RM500 yang mula disalurkan kepada Keluarga Malaysia pada Selasa, 26 Oktober.

Ini akan memanfaatkan hampir 870,000 individu yang telah hilang pendapatan pada tahun ini, serta melibatkan peruntukan sebanyak RM434 juta.  Walau apapun, kerajaan tetap komited untuk memastikan seramai mungkin rakyat akan mendapat manfaat dari Bajet 2022 dan InsyaAllah tiada siapa yang akan tertinggal, terutamanya golongan yang memerlukan.

SOALAN : Sektor pendidikan merupakan antara elemen utama dalam pembinaan dan pembentukan masyarakat, apakah tumpuan yang bakal diberikan oleh kerajaan menerusi Bajet 2022 dalam memastikan sistem pendidikan negara mampu berdepan apa jua cabaran baharu dan beradaptasi daripada pengalaman pandemik COVID-19? 

JAWAPAN : Di dalam Bajet 2022, dalam membina ketahanan sistem pendidikan negara melalui apa yang kita belajar dari pandemik COVID-19, kerajaan akan terus menekankan kepentingan dari segi penyampaian dan kualiti pendidikan. Ini termasuklah dalam menyokong kembali sesi pembelajaran yang lama terjejas akibat penutupan aktiviti ekonomi dan sosial, terutamanya melalui agendai digitalisasi. 

Ini akan melihat kemudahan dari segi pembelajaran digital, bantuan pendidikan kepada golongan B40 kerana mereka ini adalah yang paling terjejas. Selain itu, kerajaan juga akan menyentuh beberapa aspek mengenai pembayaran pinjaman pendidikan dalam Bajet 2022. Namun, apa yang sama penting sebenarnya adalah imunisasi anak-anak kita, yang sekarang ini sedang berjalan lancar. Ini salah satu aspek yang akan menentukan kejayaan pembukaan sekolah semula, di samping pelaksanaan SOP (prosedur operasi standard) yang baik dan berdisiplin.  

SOALAN : Sektor kesihatan kini menjadi agenda utama kerajaan menerusi proses PPN, bagaimanakah Bajet 2022 mampu menjadi pelengkap kepada agenda kesihatan negara untuk tahun 2022? 

JAWAPAN  : Bajet 2022 merupakan pemangkin ke arah pelaksanaan RMK12 yang akan memacu pertumbuhan, keterangkuman dan kelestarian ekonomi dalam jangka sederhana, berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).  Jadi, Bajet 2022 akan memberi tumpuan utama untuk terus melindungi dan memulih kehidupan, serta mata pencarian rakyat dan perniagaan. Ia juga akan memfokuskan kepada membina semula daya ketahanan negara dan memangkinkan pembaharuan pasca-pandemik yang lebih mampan.

Di dalam Rancangan Malaysia Ke-12, antara keutamaan kerajaan dalam jangka masa sederhana sehingga jangka masa panjang adalah mengenai penyusunan semula sistem kesihatan negara. Ini terutamanya Pelan Rangka Tindakan Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia yang akan diperkenalkan sebagai hala tuju baru untuk mentransformasi sistem penjagaan kesihatan negara.

Selain itu, RMK12 juga telah menyentuh mengenai usaha kerajaan dalam memerangi penyakit berjangkit dan memerangi penyakit tidak berjangkit.  Oleh itu, kita boleh menjangka bahawa Bajet 2022 akan terus meneruskan usaha dalam memperkaskan sistem kesihatan negara, supaya kita bersedia sekiranya terdapat gelombang baru pandemik COVID-19.

Walaupun sudah lebih 70 peratus keseluruhan populasi negara telah divaksin lengkap, kita tidak boleh terlalu selesa dengan keadaan sebegini. Kita masih perlu berhati-hati dan teruskan disiplin mengikuti SOP.

SOALAN : Jika sebelum ini peruntukan menerusi bajet tidak pernah meminggirkan golongan di luar bandar, menerusi Bajet 2022 bagaimanakah bentuk bantuan akan diberikan kepada golongan di bandar yang berdepan tekanan kenaikan kos sara hidup?

JAWAPAN : Semenjak pandemik COVID-19 melanda negara, ekonomi Keluarga Malaysia, tidak kira yang di bandar atau di luar bandar, serta pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) telah terjejas teruk. Baru-baru ini juga kita dapat lihat kos kenaikan harga barang akibat bekalan yang terhad dan juga faktorfaktor luaran seperti kos bahan mentah yang lebih tinggi di peringkat global. 

Justeru, dengan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dan sosial baru-baru ini, semestinya Keluarga Malaysia berharap Bajet 2022 yang akan dibentang Jumaat ini akan sedikit sebanyak membantu golongan di bandar, dan juga di luar bandar yang berdepan dengan tekanan kenaikan kos sara hidup. 

Saya ingin ulangi bahawa bahawa kerajaan akan terus membantu rakyat melalui pelbagai langkah mengenai isu ini. Sebagai contoh, salah satu langkah dasar yang dimanfaatkan oleh sejumlah besar Keluarga Malaysia adalah subsidi minyak dan minyak masak dalam membantu mengurangkan kesan kenaikan harga komoditi di peringkat global ke atas kos sara hidup rakyat.

Malah, seperti yang pernah diumumkan oleh Menteri Kewangan sebelum ini, untuk tahun ini saja kerajaan bakal menampung sejumlah RM8 bilion melalui subsidi minyak dan minyak masak. Yang penting sekali, rakyat dan perniagaan jangan lupa mendengar apa yang bakal mereka perolehi dari Bajet 2022 yang akan menentukan hala tuju pemulihan ekonomi negara kita. 

SOALAN : Menurut perangkaan terkini Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pengangguran di Malaysia kembali meningkat kepada 768,700 orang atau pada kadar 4.8 peratus Jun lalu, apakah inisiatif yang akan diperkenalkan menerusi Bajet 2022 dan langkah proaktif yang diambil oleh Kementerian Sumber Manusia dalam mewujudkan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan baharu selaras dengan PPN?     

JAWAPAN : Sebagai konteks, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif yang menawarkan peluang pekerjaan secara penempatan bagi tempoh jangka pendek sehingga sederhana. Kita juga perlu menangani isu pengangguran di kalangan belia Keluarga Malaysia, serta isu “underemployment”. 

Sehingga 22 Oktober 2021, hampir 440,000 (436,765) penempatan pekerjaan dan penciptaan pendapatan telah berjaya dilaksanakan di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat, dengan peruntukan sebanyak RM3.9 bilion bagi inisiatif-inisiatif tersebut.

Daripada jumlah ini, secara majoritinya kejayaan telah disumbangkan oleh penempatan pekerjaan secara ‘Direct Hiring’ iaitu program Penjana Kerjaya, MYSTEP serta Program Perantisan dan Skim Perantisan Nasional. Selain itu, bagi menyediakan rakyat dengan kemahiran yang dapat memenuhi permintaan industri, kerajaan telah menyediakan peruntukan bagi program latihan yang relevan dalam meningkatkan kebolehpasaran dan melengkapkan mereka dengan skill yang relevan.

Kerajaan juga menyediakan latihan keusahawanan bagi melahirkan peniaga dan usahawan yang berdaya saing. Hasil daripada usaha ini, kita dapat lihat kadar pengangguran yang beransur pulih dari nilai tertinggi iaitu 5.3 peratus pada Mei 2020, kepada 4.6 peratus pada Ogos 2021. Melangkah ke hadapan, melalui Bajet 2022, kerajaan akan terus memperkasakan dan memperkukuh programprogram penjanaan pekerjaan, InsyaAllah.

SOALAN  : Dalam penyediaan Bajet 2022, kerajaan telah mempelawa orang ramai untuk berkongsi idea melalui empat Kertas Konsultasi Awam (KKA) selain mengadakan sesi perbincangan dengan Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan (PH). Sejauh mana input-input ini membantu kerajaan dalam merangka Bajet 2022 yang lebih komprehensif?   

JAWAPAN  : Bajet 2022 akan dirangka secara komprehensif dan memenuhi aspirasi segenap pihak selaras dengan iltizam kebersamaan Keluarga Malaysia.  Sebagai contoh, penerbitan kenyataan Pra-Bajet (KPB) dan juga Kertas Konsultasi Awam (KKA) bagi Bajet 2022 menggambarkan pendekatan yang lebih terangkum dan inklusif, terutamanya dalam melibatkan seluruh Keluarga Malaysia dari segi persediaan Bajet 2022. 

Selain itu, saya juga difahamkan melalui taklimat oleh Menteri Kewangan, bahawa untuk tahun kedua berturut-turut, mereka telah menjalankan program Jelajah Belanjawan untuk turun ke padang bertemu dengan pihak berkepentingan termasuk pihak-pihak kerajaan negeri dan industri. Mereka telah berbincang tentang belanjawan yang sedang dirangka, selain mendapatkan maklum balas terus dari pihak-pihak berkepentingan.

Ini juga adalah sebagai tambahan kepada Portal Cadangan Bajet 2022 yang bertujuan untuk mendapat maklum balas dari pelbagai lapisan masyarakat.  Secara keseluruhannya, Kementerian Kewangan telah mengadakan: 

•    28 sesi Focus Group yang melibatkan wakil-wakil dari pelbagai industri yang yang mewakili hampir kesemua sektor ekonomi; 

•    76 sesi libat urus secara langsung bersama semua Kementerian, termasuk menteri masing-masing dan Pihak pembangkang dari Pakatan Harapan; dan 

•    8 jelajah negeri, iaitu Johor, Kedah, Pahang, Pulau Pinang, Sabah, Selangor dan Melaka. 

Setakat ini, Kementerian Kewangan telah menerima: 

a.    > 1,200 maklum balas bagi KKA;      

b.    > 1,000 memorandum melalui 105 entiti bagi cadangan Bajet 2022; dan 

c.    ~ 50,000 cadangan melalui Portal Cadangan Bajet 2022 

Bagi Kertas Konsultasi Awam, antara maklum balas yang paling banyak diterima adalah berkaitan penambahbaikan program bantuan tunai kerajaan, dengan 167 maklum balas; dan kajian insentif cukai, dengan 103 maklum balas.

Dalam kata ringkas, proses merangka Bajet 2022 adalah menyeluruh dan telus, dan kerajaan akan cuba sebaik mungkin untuk memastikan input-input tersebut  dipertimbangkan. 

Selanjutnya dalam pelaksanaan, kerajaan akan menggerakkan pelbagai ahli Keluarga Malaysia dalam usaha kebersamaan bagi mensejahterakan keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan rakyat dan perniagaan.

Ini adalah dengan kerjasama Sektor Swasta, NGO, GLC/ GLIC bagi menyampaikan manfaat secara langsung kepada rakyat, perniagaan dan ekonomi. Bajet 2022 merupakan satu usaha yang menggembleng input rakyat dan pelaksanaannya akan melibatkan semua pihak di mana penyampaiannya adalah untuk manfaat semua lapisan masyarakat.

Dalam erti kata lain, Budget 2022 is from the people, by the people, for the people.

Secara keseluruhan, Bajet 2022 adalah bajet berimpak tinggi yang akan merangkumi: 

•    Bantuan kepada golongan B40 – termasuk untuk pendidikan anak-anak B40; 

•    Sokongan perniagaan untuk memastikan PMKS dapat akses kepada pembiayaan bagi menggerakkan semua perniagaan mereka;     

•    Menjana lebih banyak pekerjaan bagi menangani pengangguran; dan 

•    Pemacu pemulihan bagi mengembalikan negara kepada kedudukan ekonomi sebelum COVID-19 dengan norma baharu. 

SOALAN:  Perkembangan pesat teknologi digital pasca pandemik  COVID-19 juga telah meningkatkan keperluan bakat digital dan ekonomi perkongsian bagi rakyat Malaysia, setakat mana Bajet 2022 memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi yang menjadi nadi utama bagi kelangsungan sistem ekonomi dan sosial pada masa hadapan? 

JAWAPAN : Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan pelbagai langkah untuk mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi telah diperkenalkan semenjak pandemik COVID-19 melanda negara. Ini termasuklah program Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Sehingga akhir September 2021, kemajuan yang memberangsangkan terus dicatat dengan sejumlah 6.4 juta premis di negara ini diliputi rangkaian gentian optik dengan akses gigabit setakat akhir September 2021.

Ia sekali gus menandakan pelan berkenaan berada dalam landasan untuk mencapai sasarannya iaitu sebanyak 7.5 juta premis menjelang akhir 2022. Dari segi liputan 4G pula, setakat akhir September 2021, ia sudah mencapai 94 peratus.

Malah, sebelum ini, kerajaan telah menawarkan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan pengguna 3G untuk beralih kepada 4G menerusi Program Jaringan Prihatin, Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia. 

Di dalam Bajet 2022, kita akan lihat lebih banyak tumpuan kepada kepada agenda pendigitalan, termasuklah pelaksanaan 5G, yang akan diterajui oleh Digital Nasional Berhad (DNB).

Selain itu, kita juga akan melihat kesinambungan program JENDELA, serta usaha Kerajaan dalam meningkatkan amalan digital, terutamanya dalam kalangan penggiat PMKS. Melangkah ke hadapan, semua sektor ekonomi dijangka akan mendapat manfaat daripada 5G.

Kita dapat lihat di negara lain bahawa industri-industri utama mereka seperti perkilangan, penjagaan kesihatan, pengangkutan, utiliti dan sektor awam telahpun mendapat manfaat daripada teknologi baharu untuk transformasi digital. 5G juga akan mencipta ekosistem baharu dalam menyampaikan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), dan transformasi digital daripada rangkaian 5G, perkhidmatan awan, Internet Pelbagai Benda (IoT), data dan Kecerdasan Buatan (AI). 

Secara keseluruhan, Bajet 2022 adalah usaha untuk menggambarkan tekad negara, membangunkan ekonomi dengan lebih lestari dan terangkum, serta akan menjadi daya penarik kepada perniagaan untuk menjadikan negara ini destinasi pelaburan utama. 

MAKLUMAT TAMBAHAN  

•    DNB merupakan sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh kerajaan yang dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. DNB tertakluk kepada kesemua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta dikawaselia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah kerangka perundangan sedia ada yang berkuatkuasa.

SOALAN: Apakah mesej Datuk Seri kepada rakyat dan seterusnya kepada komuniti perniagaan?   

JAWAPAN : Semenjak hampir dua tahun yang lalu, tidak dinafikan Keluarga Malaysia telah melalui cabaran yang tidak pernah kita duga. Kesan pandemik COVID-19 tidak pernah terbayang oleh siapa-siapa, dan telah menjejaskan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia. 

Namun, di sebalik cabaran ini, kita juga dapat lihat kebersamaan petugas barisan hadapan, syarikat-syarikat milik kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bahkan individu Keluarga Malaysia berganding bahu membantu kerajaan memerangi pandemik. Ini adalah manifestasi paling andal sebagai panduan untuk kita memulihkan negara. 

Oleh itu, amatlah penting supaya kerajaan memastikan kesinambungan bantuan-bantuan sebelum ini, dan juga mempertingkatkan sokongan kepada semua rakyat dan perniagaan.

Realitinya Bajet 2022 adalah tidak lain tidak bukan dirangka untuk kelangsungan hidup rakyat dan ketahanan ekonomi negara. It is a budget for survival and building resilience – from the people, by the people, for the people.

Bajet 2022 dirangka untuk memelihara kesejahteraan rakyat dari segi kesihatan dan kehidupan, agar rakyat negara kita mampu menghadapi cabaran-cabaran ekoran pandemik COVID-19; terutamanya sebagai persediaan bagi pertumbuhan selepas mengatasi COVID-19 nanti, InsyaAllah.

Matlamat saya hanya satu, segala perkara yang ditentukan untuk Bajet 2022 adalah berdasarkan aspirasi Keluarga Malaysia dan semestinya merangkumi: 

a.    Melindungi dan memulih kehidupan serta mata pencarian; 

b.    Membina semula daya ketahanan negara; dan KEMBALI 

c.  Memangkin pembaharuan. 

Oleh itu, sekali lagi saya ingin menekankan bahawa Bajet 2022 ini dirangka dengan penuh berhati-hati dan rapi, serta melibatkan semua pihak berkepentingan. Ia adalah menyeluruh dan telus. Pemilik sebenar Bajet 2022 adalah jutaan rakyat sebagai sebuah Keluarga Malaysia.  

SOALAN : Apakah berita menarik untuk penjawat awam bagi Bajet 2022? 

JAWAPAN : Kita sangat menghargai penjawat awam. Tentu sekali tidak pernah melupakan mereka…tunggu saya tak boleh umum apa-apa lagi. Tapi percayalah mereka tidak akan dilupakan.

Sumber: BERNAMA