Posted on: 29/10/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Sabah akan diwujudkan untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang berlarutan sejak sekian lama, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata pengwujudan suruhanjaya itu merupakan usaha jangka panjang dilakukan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah berkenaan selain berfungsi mengawasi perkhidmatan air dan pembetungan di negeri ini.

Beliau berkata bagaimanapun pindaan terhadap Enakmen Bekalan Air Sabah perlu dibuat di Dewan Uandangan Negeri (DUN) terlebih dahulu sebelum suruhanjaya itu dapat diwujudkan.

“Penubuhan suruhanjaya ini merupakan satu daripada perkara yang akan dimasukkan dalam Huju Tuju Jabatan Air Negeri Sabah (JANS). Kita yakin penubuhan suruhanjaya ini akan mengurangkan birokrasi dan meningkatkan kecekapan negeri dalam mengurus masalah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bung Moktar berkata demikian sebagai mengulas kenyataan  Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Dewan Rakyat semalam yang mencadangkan Sabah mewujudkan satu enakmen mengawal selia industri bekalan air untuk memastikan fungsi kawal selia dan operasi diasingkan.

Menurutnya satu forum telah diadakan untuk membincangkan penubuhan suruhanjaya berkenaan semalam yang turut dihadiri Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Limus Jury, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah Datuk Mohd Jasmin Juplin dan Pengarah Jabatan Air Sabah Edward Lingkapo.

“Bagi menangani isu-isu bekalan air di Sabah, JANS memerlukan sekitar RM13 bilion untuk mengganti  dan menaik taraf sistem bekalan air seperti rangkaian paip lama dan menaik taraf loji rawatan air yang bermasalah.

“JANS adalah satu-satunya utiliti air di Malaysia yang masih berstatus jabatan dan menguruskan bekalan airnya sendiri tanpa bantuan secara langsung daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata melalui suruhanjaya itu kerajaan negeri berharap bantuan secara langsung dapat diperoleh daripada kerajaan Persekutuan untuk menampung kos perbelanjaan yang tinggi dalam usaha meningkatkan sistem bekalan air di Sabah.

Sumber: BERNAMA