Posted on: 01/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan memahami permasalahan yang dialami setiap lapisan masyarakat termasuk golongan belia dan bujang justeru, manfaat kepada mereka tetap diambil kira menerusi Bajet 2022.

Timbalan Ketua Ekonomi, Kementerian Kewangan (MoF), Dr Nirwan Noh berkata walaupun ketika pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat lepas kurang menyebut mengenai manfaat secara khusus berkaitan belia dan bujang, namun prinsip tiada yang terpinggir tetap dipegang MoF.

“Sebenarnya MoF, bagi bajet pada kali ini, kita cuba ringkaskan ucapan dan langkah-langkah yang perlu dikongsikan. Jadi yang dinyatakan dalam ucapan bajet adalah perkara-perkara utama.

“Tetapi semua langkah secara terperinci ada disertakan dalam lampiran ucapan Bajet 2022 yang boleh dimuat turun daripada laman sesawang MoF,” katanya dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) yang diterbitkan oleh saluran televisyen TV3 pada Isnin.

Antara manfaat yang dicadangkan kerajaan untuk golongan bujang ialah mereka yang berpendapatan di bawah RM2,500 akan menerima RM350 di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM). Nirwan berkata BKM, yang bersifat bantuan secara bersasar, dengan peruntukan besar sebanyak RM8.2 bilion dijangka memberi manfaat kepada 9.6 juta penerima.

Beliau berkata ia penting sebagai satu jaringan keselamatan sosial dan diharap dapat mengurangkan kos hidup dan beban rakyat berpendapatan rendah akibat kesan pandemik COVID-19.

“Penyediaan BKM ini merupakan hasil penambahbaikan selepas kita memperoleh maklum balas melalui Kertas Konsultasi Awam Program Bantuan Tunai Kerajaan yang diedarkan kepada orang awam sebelum ini,” katanya. Beliau berkata pembentangan Bajet 2022 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ berlandaskan penekanan 3M atau 3R iaitu memulih kehidupan (recovery); membina semula daya tahan (resilience) dan memangkin pembaharuan (reform).

Bajet 2022, memperuntukkan sejumlah RM322.1 bilion, adalah yang tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini dan merupakan kesinambungan kepada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang telah diumumkan, katanya.

Beliau berkata ia bagi menyokong kesejahteraan dan kehidupan rakyat, memastikan kemampanan perniagaan dan memacu pemulihan ekonomi. “Dalam proses penyediaan bajet ini, pelbagai sesi libat urus telah diadakan. 

“Ia melibatkan lebih kurang 30 sesi kumpulan fokus, 80 sesi sumbang saran, mengkaji lebih 1,100 memorandum yang dikemukakan oleh pihak industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain telah menerima lebih 50,000 cadangan melalui portal Bajet 2022 yang dibuka kepada masyarakat umum,” katanya. Sumber: BERNAMA