Posted on: 01/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Peruntukan lebih besar untuk pendidikan dalam Bajet 2022 membuktikan kerajaan prihatin membina ekosistem pendidikan yang kondusif.

Presiden Presiden Ikatan Guru Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan, berkata Bajet 2022 sebanyak RM52.6 billion meningkat RM2.2 billion, berbanding RM50.4 billion tahun ini.

Beliau berkata, dana yang besar dapat membina ekosistem pendidikan yang berkesan dan selamat, demi memacu masa depan pendidikan negara dengan lebih hebat.

Katanya, peruntukan itu bersifat prihatin dan mengutamakan pendidikan kelompok yang terjejas akibat pendemik, khususnya mereka daripada kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Langkah menaikkan bantuan awal persekolahan sebanyak RM150, rancangan makanan tambahan, perkara yang amat diperlukan orang ramai.

“Peruntukan ini dapat merapatkan jurang pendidikan di antara sekolah bandar dan luar bandar serta sekolah di pedalaman di Sabah dan Sarawak, melalui penyelenggaran serta naik taraf sekolah daif,” katanya.

Mohd Azizee berkata, dana sekali bayar RM100 untuk pembelian alat bantu mengajar kepada warga guru dapat membantu meningkatkan kecekapan pengajaran dan kemahiran digital pendidik.

“Peruntukan ini termasuk juga usaha kerajaan melanjutkan pelepasan cukai RM2,500 untuk pembelian komputer, telefon bimbit dan tablet membantu usaha memperkasa kaedah pengajaran digital.

“I-Guru juga berharap bajet untuk pemerkasaan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dapat melahirkan tenaga mahir yang berkualiti dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian