Posted on: 01/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan bersetuju menyambung secara automatik khidmat pakar penyelidik berkaitan vaksin di universiti yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada usia 60 tahun selama lima tahun secara kontrak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan berkuat kuasa serta merta itu bagi memastikan pakar-pakar berkaitan yang masih menjalankan penyelidikan berkaitan vaksin terutamanya melibatkan subjek yang boleh dipasarkan di peringkat antarabangsa dapat meneruskan dan menghabiskan penyelidikan mereka.

“Jadi tidak ada lagi soal tidak terjamin dari segi tugas yang sedang mereka laksanakan, jadi mereka boleh teruskan (khidmat) selama lima tahun dan selepas itu kita akan tengok keperluan sama ada boleh tambah lagi atau tidak.

“Syaratnya ialah kajian dan pembangunan (R&D) yang mereka lakukan tersebut boleh dikomersialkan, dan dipasarkan ke seluruh dunia,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin serta Menteri Sains Inovasi dan Teknologi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba.  Ismail Sabri berkata Malaysia memiliki ramai pakar terbaik yang turut mendapat pengikitrafan antarabangsa dan disebabkan itu, negara tidak mahu kehilangan bakat ini yang mungkin akan diambil oleh negara lain disebabkan faktor tamat perkhidmatan.

“Kalau tidak disambung (perkhidmatan) akan jejaskan kajian mereka dan kalau (kajian) disambung pakar baru mungkin akan makan masanya,” katanya. 

Ditanya mengenai jumlah pakar yang dijangka terlibat dengan keputusan kerajaan itu, beliau berkata data berkaitan akan diperoleh daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pengajian Tinggi. 

Berhubung pembangunan vaksin untuk kanser kepala dan leher oleh Pusat Penyelidikan Kanser yang sedang dijalankan, Ismail Sabri berkata Malaysia adalah negara pertama yang sedang melaksanakan penghasilan vaksin tersebut.

“Jadi kita mampu tawarkan vaksin sendiri sebab itulah kerajaan naik taraf Institut Genom Malaysia ini kepada Insitut Genom dan Vaksin Malaysia,” katanya. 

Terdahulu Ismail Sabri  melancarkan  Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) serta  Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) dalam usaha menjadikan negara sebagai antara hab pengeluar vaksin dan meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan vaksin.

Sumber: BERNAMA