Posted on: 01/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Jaringan jalan raya dari Miri yang menghubungkan rumah-rumah  panjang di kawasan pedalaman yang terdapat di Baram di sini dijangka siap menjelang 2026, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam.

Menurut beliau, di bawah perancangan Badan Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), jaringan jalan raya yang bermula dari Miri ke kawasan pedalaman Baram itu akan lengkap dengan pembangunan sebuah jambatan yang kini dibina menghubungkan Marudi dan Baram.

“Apabila siap kelak, jalan raya itu akan melalui kawasan Long Terawan yang jaraknya melebihi 70 kilometer serta akan melalui beberapa rumah panjang dan kampung antaranya Long Panai, Long Lama dan Long San.

“Dengan adanya jalan raya itu, sektor pertanian dapat dibangunkan kerana sudah mempunyai akses logistik manakala sektor pelancongan akan memberi impak yang tinggi kepada ekonomi masyarakat di Baram,” katanya kepada pemberita.

Beliau sebelum itu menghadiri majlis Negereng Jihe’ Uma Maring (acara memasang tiang untuk pembinaan rumah panjang baharu) yang merupakan amalan turuntemurun masyarakat Kayan di Rumah Temenggong Elizabeth Deng, Long Laput di sini, kira-kira tiga jam perjalanan darat dari Miri.

Lawatan Abang Johari ke Long Laput ini merupakan kali keenam sejak beliau memegang tampuk pimpinan kerajaan negeri sejak 2017.

Kedatangan beliau kali ini tidak hanya dengan tangan kosong tetapi membawa ‘buah tangan’ yang istimewa buat masyarakat Kayan di Long Laput apabila beliau setuju meluluskan dana RM1 juta bagi membaiki pendawaian semula rumah panjang sedia ada yang terdapat di sini.

Selain itu, beliau turut meluluskan dana masing-masingnya berjumlah RM500,000 bagi pembinaan pusat khazanah dan warisan Baram, selain  pembinaan hab pertanian serta skim rumah panjang di Baram di bawah kendalian HDA.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata kunjungan Ketua Menteri ke Long Laput itu menunjukkan sikap keprihatinan tinggi terhadap kawasan pedalaman Sarawak.

“Dengan pemberian istimewa Abang Johari itu, saya yakin ia meningkatkan keyakinan masyarakat di sini untuk terus berdiri teguh di belakang beliau yang telah terbukti dapat memajukan kawasan bukan sahaja di sini tetapi di seluruh Sarawak,” katanya.

Sumber: BERNAMA