Posted on: 01/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan solat Jumaat dan solat fardu di negeri itu ditambah mengikut jumlah jemaah yang ditetapkan di masjid dan surau berkenaan, kata Pengarahnya Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

Mohd Shahzihan  menerusi kenyataan hari ini  berkata penetapan jumlah jemaah itu dibuat susulan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya ketetapan bilangan jemaah untuk solat Jumaat bagi masjid dan surau dengan kebenaran solat Jumaat di Selangor, dinaikkan.

“Berikutan peningkatan jumlah jemaah terbaharu ini, Sultan Selangor turut menitahkan agar program-program pengimarahan diperluaskan bagi memastikan peranan masjid dan surau sebagai pusat ilmu Islam dan pusat komuniti ummah setempat kembali berfungsi,” katanya.

Menurutnya selain kebenaran meneruskan program pengimarahan, pihak pentadbir masjid dan surau dibenarkan melaksanakan program forum, diskusi, ceramah perdana, Kelas Pengajian Bersijil, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), aktiviti kursus dan latihan.

Selain itu, katanya sebagai usaha menggerakkan semula pendapatan masjid dan surau serta penjanaan ekonomi bagi ahli-ahli kariah, pihak pentadbir masjid, surau dan musala juga dibenarkan mengaktifkan kembali operasi kios, koperasi, lot gerai dan aktiviti penjanaan ekonomi yang lain.

Mohd Shahzihan berkata semua masjid dan surau turut dibenarkan melaksanakan majlis akad nikah, pengurusan jenazah bukan COVID-19, pelaksanaan mesyuarat berkaitan pengurusan masjid dan surau, serta jamuan selepas program pengimarahan.

Namun, katanya pentadbir masjid dan surau kebenaran solat Jumaat dikehendaki melaksanakan program disinfeksi berkala dengan menggunakan dana sedia ada sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19.

“Pentadbir masjid, surau dan musala hendaklah memaklumkan segera kepada Pejabat Agama Islam Daerah jika didapati berlaku sebarang penularan COVID-19 di masjid, surau atau musala masing-masing bagi mengenal pasti langkah-langkah kawalan.

“Mana-mana pegawai dan jawatankuasa masjid, surau dan musala yang belum mengambil suntikan vaksin lengkap dilarang terlibat dalam apa juga pengendalian solat Jumaat dan solat fardu serta aktiviti pengimarahan yang dijalankan,” katanya.

Sumber: BERNAMA