Posted on: 02/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pengoperasian Digital Nasional Berhad (DNB) selaku pengendali perkhidmatan borong tunggal 5G dikawal selia ketat pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata antara lain, MCMC mengenakan syarat yang melarang DNB daripada terlibat dalam aktiviti runcit.

Beliau berkata bagi memastikan kos perkhidmatan borong ditawarkan DNB berada pada tahap munasabah, MCMC turut menetapkan beberapa syarat dalam lesen berhubung tanggungjawab DNB berkaitan kos capaian.

“Selain itu, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 turut memberi kuasa kepada MCMC untuk menetapkan harga borong secara mandatori melalui Standard Mandatori mengenai Harga Akses sekiranya campur tangan MCMC melalui pendekatan ini diperlukan bagi memastikan harga perkhidmatan yang berpatutan dapat diberi kepada pengguna untuk perkhidmatan 5G kelak,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat) mengenai analisis impak terhadap pelaksanaan peralihan teknologi 5G secara keseluruhannya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Zahidi berkata DNB merupakan sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang ditubuhkan Kementerian Kewangan untuk menjalankan projek 5G.

Beliau berkata  perjalanan teknologi 5G di Malaysia bermula apabila negara berjaya mendemonstrasikan 71 kes kegunaan 5G melalui Projek Demonstrasi 5G Malaysia (5GDP) yang dijalankan pada Oktober 2019 hingga penghujung tahun lalu di 50 tapak merentasi tujuh negeri iaitu Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Katanya projek demonstrasi itu memberi tumpuan kepada sembilan sektor industri iaitu bandar pintar, hiburan/media, minyak dan gas, pelancongan, pembuatan dan pemprosesan,  pendidikan,  pengangkutan pintar,  penjagaan kesihatan digital dan pertanian melalui sokongan dan komitmen daripada penggiat industri telekomunikasi dan multimedia dengan sumbangan pelaburan bernilai RM131 juta. 

“Projek Demonstrasi 5G ini adalah bagi membolehkan rangkaian dan perkhidmatan 5G yang menyeluruh dan berimpak tinggi dapat dirancang. Ini juga selaras dengan kebolehupayaan teknologi 5G yang lebih tertumpu kepada pengguna sektor perusahaan dan industri, berbanding pengguna biasa,” katanya.

Sumber: BERNAMA