Posted on: 02/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) menyalurkan dana berjumlah RM337,155 kepada 24 atlet negara yang terlibat dalam Program Bimbingan Usahawan Atlet, sejak enam bulan lepas.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata semua atlet itu dibimbing oleh mereka  yang berpengalaman luas dalam bidang perniagaan dan keusahawanan bagi merangka strategi perniagaan dengan lebih berkesan.

“Setiap atlet ini bukan sahaja menerima bantuan dana bernilai RM15,000 seorang tetapi juga dalam bentuk latihan dan bimbingan.

“Tujuan kita untuk melahirkan usahawan daripada golongan atlet yang telah berjasa kepada negara terutamanya selepas mereka bersara nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program tersebut di sini semalam.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Noh berkata terdapat dua kategori atlet yang dibantu iaitu usahawan atlet yang mempunyai idea perniagaan atau perniagaan sedia ada dan usahawan yang tiada idea perniagaan.

“Kategori pertama adalah kumpulan peserta yang sudah mempunyai perniagaan dan memerlukan bimbingan lonjakan perniagaan ke skala seterusnya.

“Bagi kategori kedua pula adalah kumpulan peserta yang ingin menceburi atau memulakan bidang perniagaan berkonsepkan prafrancais,” katanya.

Noh berkata sebanyak RM71,808 atau 50.4 peratus jumlah peningkatan hasil jualan direkodkan daripada 15 atlet negara yang berada di kategori pertama. “Ia membuktikan sasaran program ini iaitu peningkatan minimum 20 peratus hasil jualan telah tercapai dengan cemerlang manakala sembilan lagi atlet negara akan memulakan perniagaan berkonsepkan prafrancais,” katanya.

Sumber: BERNAMA