Posted on: 02/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah dan Melaka meningkat kepada 685 orang pagi ini susulan hujan lebat yang melanda dua negeri berkenaan semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mohd Muaz Mohd Yusof berkata jumlah mangsa banjir di Kedah setakat 8 pagi tadi meningkat kepada 526 orang berbanding 337 orang malam tadi.

“Empat lagi PPS dibuka malam tadi melibatkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Darul Hikmah, Kota Setar yang menempatkan 62 orang daripada 14 keluarga, PPS SK Dewan Kampung Tradisi, Lembah Keriang, Kubang Pasu menempatkan 65 orang daripada 19 keluarga.

“Turut dibuka PPS SK Siong dan SK Tunku Putera, Baling yang masing-masing menempatkan tujuh orang daripada empat keluarga dan lapan orang daripada satu keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Muaz berkata mangsa banjir di PPS sedia ada yang masih beroperasi di Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah bagi daerah Pendang juga meningkat kepada 245 orang pagi ini berbanding 222 orang malam tadi.

Selain itu, beliau berkata mangsa banjir di PPS SK Langgar (Kota Setar) juga bertambah kepada 79 orang berbanding 77 orang malam tadi manakala jumlah mangsa di PPS SK Suka Menanti (Kota Setar) pula meningkat kepada 38 orang berbanding 16 orang malam tadi.

Namun, katanya PPS Surau Permatang di daerah Pokok Sena kekal menempatkan 22 orang daripada lapan keluarga sejak malam tadi.

Di MELAKA, 159 orang daripada 40 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Alor Gajah susulan banjir kilat yang melanda sekitar Durian Tunggal, lewat petang semalam. Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata PPS yang dibuka malam tadi ialah PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah yang menempatkan 81 orang daripada 19 keluarga.

“Turut dibuka ialah PPS Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal yang menempatkan 54 orang daripada 11 keluarga yang dipindahkan ke situ bermula 10.30 malam tadi. “Satu lagi PPS turut dibuka di SK Durian Tunggal yang menempatkan 24 orang daripada 10 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sumber: BERNAMA