Posted on: 02/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan masih meneliti mengenai jumlah pekerja asing yang akan diluluskan bagi sektor-sektor dibenar menggaji pekerja berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kementerian dan agensi-agensi berkaitan sedang melaksanakan analisis terperinci mengenai perkara itu.

“Ini bagi memastikan kerajaan mempunyai hala tuju strategik dalam mencapai keseimbangan antara ekonomi dan kesihatan ketika negara masih berusaha memerangi COVID-19,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Steven Choong Shiau Yoon (Bebas-Tebrau) mengenai sektor yang dibenarkan menerima kemasukan pekerja asing baharu dan jumlah pekerja asing yang akan diluluskan bagi setiap sektor.

Hamzah berkata Jawatankuasa Khas Pandemik COVID-19 yang dipengerusi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Oktober lepas bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing ke Malaysia bagi semua sektor yang dibenarkan, dengan perladangan menjadi sektor pertama yang mendapat kelulusan.

Hamzah berkata kerajaan sebelum ini bersetuju membenarkan kemasukan 32,000 pekerja asing secara pengecualian khas bagi memenuhi keperluan tenaga kerja untuk sektor perladangan khususnya kelapa sawit.

Dalam pada itu, Hamzah berkata 212,926 warga asing dan 11,751 majikan memohon menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang akan dilaksanakan hingga 31 Dis ini.

“Ada beberapa sektor khusus yang mereka ingin mendaftarkan diri iaitu perkilangan 65,484 permohonan, pembinaan (122,075), perladangan (7,176), pertanian (12,003).

Ini adalah mereka yang telah berdaftar dan berminat untuk mana-mana majikan untuk mengambil dan bekerja semula,” katanya. Sementara itu, Hamzah menafikan terdapat masalah terhadap sistem yang digunakan bagi program rekalibrasi itu.

“Berkenaan sistem digunakan yang dikatakan tidak berfungsi itu tidak benar sebab kalau tidak berfungsi, saya tidak boleh mengemukakan data-data itu,” katanya menjawab soalan tambahan M.Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) mengenai sistem program berkenaan yang didakwa tidak berfungsi.

Sumber: BERNAMA