Posted on: 02/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Lembaga Minyak Sawit Malaysia  (MPOB) menggesa pengeluar makanan dan pemain industri minyak sawit Malaysia agar  memberi perhatian kepada isu yang dibangkitkan oleh Majlis Pengguna Hong Kong baru-baru ini berkaitan dengan 60 jenis biskut siap dipek diperbuat daripada minyak sawit.

Mengikut laporan berita baru-baru ini, majlis itu mendakwa biskut yang disenaraikan tersebut mengandungi bahan penyebab kanser seperti glisidol atau akrilamid. 

Ketua Pengarah MPOB Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata pengeluar makanan perlu menuntut minyak sawit yang mengandungi 3-monochloro-propanediol esters (3-MCPDE) dan glycidyl esters (GE) yang lebih rendah daripada pembekal agar produk mereka boleh diterima oleh pengguna.  

“Begitu juga, kilang penapis perlu bertegas meminta kilang membekalkan minyak sawit mentah (MSM) dengan kandungan klorida rendah bagi membolehkan mereka mengurangkan 3-MCPDE dalam minyak sawit ditapis.

“Sebagai alternatif, kilang penapis boleh membayar harga lebih rendah bagi MSM dengan klorida tinggi kerana ia akan digunakan untuk membayar kos membasuh MSM di kilang penapis,” katanya. 

Ahmad Parveez berkata isu 3-MCPDE dan GE dalam minyak sawit tidak lagi akan menjadi satu kebimbangan sekiranya semua pihak memahami peranan mereka dalam memastikan minyak sawit mencapai standard kualiti dan keselamatan tinggi. 

“Kehadiran klorida dalam MSM didapati menjadi pendahulu 3-MCPDE apabila minyak melalui proses penapisan pada suhu yang tinggi. “Daripada ujian komersial, MSM yang dibasuh dan selepas penapisan terbukti menghasilkan minyak sawit dengan kandungan 3-MCPDE dan GE yang lebih rendah,” katanya.

Mengenai pelabelan makanan bagi tujuan eksport, Ahmad Parveez berkata pengeluar perlu mematuhi garis pandungan pelabelan yang ditetapkan oleh negara pengimport. 

“Di  Malaysia, pengeluar biskut perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah Akta Makanan Malaysia  1983 (Akta  281), yang dipantau oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan,” katanya. 

Sumber : BERNAMA