Posted on: 02/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V telah memberi perkenan untuk Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 dikuat kuasa bermula hari ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 telah memilih kaedah pelaksanaan bagi penambahbaikan, yang bertujuan untuk memulih dan memberi kesedaran kepada pesalah-pesalah Syariah terhadap kesalahan yang dilakukan.

Beliau berkata peruntukkan enakmen sedia ada telah dikaji, diteliti dan didapati kewajaran untuk ditambah baik sesuai dengan arus perkembangan sosial masyarakat masa kini, dan menepati Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

“Mahkamah Syariah diberi kuasa membicarakan kes-kes yang had hukumannya adalah maksimun tiga tahun penjara atau denda RM5,000 atau enam sebatan atau gabungan mana-mana hukuman terbabit.

“Oleh itu, dengan pemakaian dan permulaan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 ini akan memberi faedah yang besar dalam pemantapan undang-undang syariah, bukan sahaja di negeri Kelantan tetapi boleh diambil manfaat oleh lain-lain negeri di Malaysia, dalam usaha melengkapkan lagi Kanun Jenayah Syariah di Malaysia dengan bermula langkahnya di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penerangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, di sini kelmarin.

Ahmad menyeru kepada semua masyarakat Islam di Negeri Kelantan khususnya agar sama-sama mematuhi dan menjaga kedaulatan undang-undang yang dikuatkuasakan demi kesejahteraan dan kemaslahatan rakyat. 

“Matlamat pelaksanaan adalah bertujuan mengajar, mendidik dan menjinakkan hati agar kembali ke jalan yang lurus, menepati perintah agama dan menjadikan syariat islam sebagai panduan kehidupan, bukannnya musuh yang harus ditentang,” katanya.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 diluluskan selepas dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 14 hingga 16 Okt 2019 seterusnya telah mendapat persetujuan Diraja pada 14 Julai 2020.

Enakmen itu kemudian diwartakan pada 31 Dis 2020 mengikut Warta Kerajaan Kelantan. Terdapat 24 peruntukan baharu dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 antaranya sihir, dakwaan palsu, percubaan keluar Islam, memutarbelitkan ajaran Islam, tidak menghormati bulan Ramadan, memusnahkan tempat ibadat, persetubuhan dengan mayat dan persetubuhan dengan bukan manusia.

Sumber: BERNAMA