Posted on: 03/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) yang bersifat inklusif dalam pemodenan pembangunan pertanian negara serta jaminan bekalan makanan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bakal merancakkan lagi industri nanas negara.

Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Nanas Malaysia (LPNM) Mohd Khairuzamri M. Salleh berkata teras utama DAN 2.0 selari dengan matlamat agensi melihat agromakanan sebagai sektor mampan, berdaya tahan, berteknologi tinggi selain mampu memacu pertumbuhan ekonomi sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan.

Beliau berkata bagi teras pertama yang mendukung pemodenan dan pertanian pintar, LPNM telah mula mengaplikasikan IR 4.0 iaitu revolusi pertanian internet benda (IoT) seperti penggunaan penderiaan jauh atau remote sensing dalam pembangunan tanaman nanas dengan kaedah  pertanian pintar termasuk pembajaan, kesuburan tanah, pemantauan ladang dan pemasaran hasil.

“LPNM juga berkerjasama dengan institusi penyelidikan dan institusi pengajian tinggi serta meningkatkan penglibatan holistik dengan sektor swasta dalam usaha melaksanakan penyelidikan, pembangunan, komersialisasi dan  inovasi untuk memacu kesinambungan pembangunan teknologi dan produk baharu dalam sektor nanas,” katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya, bagi teras kedua, pasaran domestik nanas kini mula mengukuh dengan peningkatan pengeluaran varieti premium MD2 yang telah diperkenalkan oleh LPNM dan ia mendapat permintaan pasaran yang tinggi di luar negara sekali gus akan memacu pertumbuhan eksport produk nanas Malaysia.

“LPNM menyasarkan untuk meningkatkan kawasan tanaman nanas negara kepada 20,000 hektar pada 2025 berbanding 17,000 hektar pada 2020 dengan sasaran peningkatan kadar peratusan tanaman nanas varieti MD2 daripada 15 peratus pada ketika ini kepada 50 peratus bagi menampung permintaan tinggi dalam pasaran domestik serta eksport,” katanya.

Mohd Khairuzamri berkata menerusi teras ketiga iaitu pembangunan bakat yang memenuhi permintaan industri pula, LPNM kini memfokuskan penglibatan golongan muda menerusi program agropreneur muda nanas.

Menurutnya program agropreneur muda itu  mampu memberi peluang kerjaya selain membantu golongan berkenaan memperoleh pendapatan yang baik bagi menyara kehidupan serta selari dengan hasrat kerajaan dalam mengatasi masalah belia atau graduan menganggur.

“Di bawah teras keempat iaitu pertanian yang mampan, penglibatan seramai mungkin pekebun nanas untuk mendapatkan pensijilan MyGAP (Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia) bukan sahaja dapat memenuhi produk pertanian berkualiti serta selamat untuk dimakan malah memudahkan pekebun untuk memasarkan produk mereka ke luar negara.

“Bagi sektor pengilangan dan industri kecil dan sederhana, LPNM memberi penekanan dan membimbing usahawan untuk mendapatkan pensijilan GMP, MeSTI, Halal dan sebagainya selain membantu meningkatkan kemahiran menghasilkan produk berkualiti serta dapat memenuhi permintaan pasaran,” katanya.

Mohd Khairuzamri berkata  LPNM telah memulakan program sisa sifar  dalam membina kelestarian alam sekitar serta memanfaatkan sumber industri termasuk membangunkan produk hiliran daripada sisa pokok nanas termasuk benang serat nanas, kertas nanas dan makanan ternakan selain menjadi sumber alternatif dan tambahan pendapatan.

Katanya bagi strategi serta pelan tindakan di bawah teras kelima pula, LPNM komited dalam merencanakan ekosistem perniagaan atau perusahaan yang kondusif serta kerangka institusi yang kukuh antaranya meningkatkan kerjasama dengan pemegang taruh seperti kerajaan negeri dalam membangunkan tanah untuk kawasan penanaman nanas yang bersepadu serta berimpak tinggi. 

“Kami percaya sektor industri nanas negara diunjurkan akan terus berkembang sebanyak lima peratus setahun dengan eksport nanas negara telah mengalami peningkatan ketara iaitu sebanyak RM641 juta pada tahun 2020 berbanding RM138 juta pada tahun 2016.

“Insya-Allah pada tahun ini kami jangkakan nilai eksport nanas boleh melebihi RM700 juta, jadi ini adalah satu potensi yang baik,” katanya.

Sumber: BERNAMA