Posted on: 03/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerjasama Malaysia dengan negara ASEAN dalam menyelesaikan isu Rohingya dan langkah kerajaan mengurangkan ketirisan serta pembaziran kewangan negara, antara topik yang dijangka menjadi tumpuan di Dewan Rakyat hari ini. 

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, soalan mengenai usaha kerajaan dalam menyelesaikan isu Rohingya dan isu penempatan pelarian Rohingya akan diajukan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) kepada Menteri Luar Negeri semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) pula meminta Perdana Menteri menyatakan usaha drastik kerajaan dalam mengurangkan ketirisan dan pembaziran kewangan negara melalui projek-projek tertangguh seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2.

Selain itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) pula dijangka bertanya kepada Perdana Menteri mengenai langkah yang diambil Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memastikan pengundi 18 tahun keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Isu mengenai kategori pendapatan isi rumah pula disentuh Cha Kee Chin (PH-Rasah) melalui soalan yang diajukan kepada Perdana Menteri iaitu kerelevanan kategori pendapatan isi rumah mengikut B40, M40 dan T20 selepas pandemik COVID-19.

Beliau juga bertanyakan kesediaan kerajaan bagi meminda kategori isi rumah M40 kepada M20 dan B40 kepada B60 agar bantuan sewajarnya dapat disalurkan kepada mereka yang terjejas.

Selepas sesi soal jawab, Ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang akan menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 yang dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat. Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari hingga 16 Dis.

Sumber: BERNAMA