Posted on: 03/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Sesi lawatan keluarga bagi peserta Program Rawatan dan Pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di seluruh negara, dibenarkan sempena sambutan Deepavali, mulai Jumaat (5 November) hingga  9 November) ini.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam kenyataan hari ini memaklumkan peluang ini diberikan kepada keluarga/penjaga dan klien (penghuni Puspen) dengan pematuhan prosedur operasi standard Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditetapkan termasuk mereka perlu lengkap menerima dos vaksin COVID-19.

“Sesi lawatan keluarga itu akan memberi ruang dan peluang kepada keluarga/penjaga dan klien untuk bertemu mesra serta sebagai pendekatan teraputik dalam menyokong klien dalam institusi untuk terus memberi komitmen mengekalkan kepulihan,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

Sesi lawatan khas secara bersemuka itu hanya dibenarkan di negeri yang berada dalam Fasa 4 PPN manakala negeri-negeri yang belum mencapai Fasa 4 PPN hanya dibenarkan pertemuan secara dalam talian.

“Setiap keluarga/penjaga perlu membuat janji temu dengan pihak Puspen bagi mengelakkan kesesakan, melancarkan perkhidmatan AADK dan mengelakkan risiko penularan jangkitan wabak COVID-19.

“Permohonan janji temu itu boleh dibuat menerusi pangggilan telefon, mesej pesanan ringkas, pesanan aplikasi WhatsApp, surat atau e-mel kepada Pegawai Pemulihan terlibat,” menurut kenyataan itu.

AADK memaklumkan lawatan secara walk-in tidak dibenarkan sama sekali dalam tempoh pandemik ini dan maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Puspen berkaitan atau melayari laman web rasmi AADK di www.adk.gov.my.

Sumber: BERNAMA