Posted on: 03/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Mangsa banjir di Kedah pada sebelah petang semalam terus meningkat kepada 665 orang apabila sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Pendang manakala di Melaka mencatatkan penurunan dan di Perlis 103 mangsa ditempatkan di dua PPS.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mej  (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata PPS Dewan Cenderawasih di Pendang itu, setakat ini menempatkan 61 mangsa daripada 19 keluarga, manakala PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah di daerah sama menempatkan 217 orang daripada 48 keluarga.

Beliau berkata  di daerah Kubang Pasu terdapat 119 mangsa banjir  daripada 35 keluarga yang  ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dewan Kampung Tradisi, Lembah Keriang.

“Mangsa banjir di Kota Setar pula seramai 228 orang daripada 68 keluarga pada petang ini yang ditempatkan di tiga PPS iaitu SK Langgar, SK Suka Menanti dan SK Darul Hikmah. 

“Di daerah Baling  terdapat  15 mangsa banjir daripada lima keluarga yang masing-masing berada di PPS SK Siong dan SK Tunku Putera, manakala PPS Surau Kampung Permatang Limau bagi daerah Pokok Sena menempatkan 25 orang daripada lapan keluarga,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Pengarah APM Kedah Lt Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub meminta orang ramai sentiasa bersedia dan berjaga-jaga dalam menghadapi musim Monsun Timur Laut mulai bulan ini yang berisiko tinggi menyebabkan banjir.

Di MELAKA, Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan iaitu seramai 149 orang daripada 38 keluarga.

Di Alor Gajah jumlah mangsa banjir menurun di tiga PPS  iaitu di SK Durian Tunggal dengan 26 mangsa daripada 10 keluarga;  Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dengan 76 mangsa daripada 18 keluarga; dan Dewan Japerun Durian Tunggal dengan 47 mangsa daripada 10 keluarga. 

Katanya hujan lebat semalam menyebabkan enam kawasan di daerah berkenaan terjejas iaitu Kampung Padang Keladi, Bukit Balai, Kampung Bukit Tambun, Pekan Durian Tunggal, Taman Murai Jaya dan Kampung Padang Kerbau.

Di PERLIS, dua PPS dibuka di Arau bagi menempatkan 103 mangsa daripada 27 keluarga yang terjejas akibat banjir sejak awal pagi tadi. APM Perlis dalam kenyataan petang ini berkata sebanyak 19 keluarga melibatkan 77 penduduk ditempatkan di PPS Masjid Kampung Banggol Sena, manakala lapan keluarga (26 orang) ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Arau.

Sumber: BERNAMA