Posted on: 03/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair), yang merupakan pameran pelancongan terbesar di Malaysia, kembali menemui orang ramai pada 20 dan 21 Nov ini selepas dua tahun tidak dianjurkan berikutan pandemik COVID-19.

Edisi terakhir MATTA Fair diadakan pada September 2019. Setiausaha Agung Kehormat MATTA Nigel Wong berkata pihaknya teruja dengan pembukaan sektor pelancongan domestik bagi membantu melonjakkan ekonomi dan pameran itu antara usaha membantu merancakkan semula industri berkenaan.

“Pameran yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu, akan disertai oleh pelbagai organisasi pelancongan antarabangsa antaranya dari Korea, Taiwan, Filipina, Jepun, Turki dan Uganda bagi mempromosikan pasaran mereka kepada pelancongan antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATTA Phua Tai Neng dalam satu kenyataan berkata MATTA Fair edisi ke- 49 akan diadakan pada skala lebih kecil di Dewan 3 dan 4 WTC.

“Dewan 4  dikenali sebagai Dewan Malaysia, yang menempatkan hampir semua organisasi pelancongan negeri serta produk pengembaraan dan pelancongan domestik manakala kebanyakan pemain pelancongan antarabangsa di Dewan 3,” katanya.

Phua berkata pameran tersebut mendapat sokongan padu daripada organisasi pelancongan negeri seperti Sabah, Terengganu, Sarawak, Pahang, Selangor, Johor, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan.

Menurutnya selepas 21 bulan sekatan pergerakan dan tiada aktiviti perniagaan dalam industri pengembaraan dan pelancongan, MATTA Fair menjadi penunjuk penting kepada orang awam bahawa industri pelancongan sudah kembali dan secara perlahan-lahan akan dirancakkan dengan aktiviti pelancong domestik, selain antarabangsa tidak lama lagi susulan pembukaan semula sempadan, dengan protokol perjalanan yang selamat.

Katanya bagi pameran kali ini, MATTA telah bekerjasama dengan Legoland sebagai Rakan Taman Tema dan syarikat aplikasi pengangkutan e-hailing, GOJO. Beliau menggeja pengunjung agar tidak membawa kanak-kanak sepertimana yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM). “Pameran selama dua hari itu dibuka dari pukul 10 pagi hingga 8 malam dan masuk adalah percuma,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pasaran Legoland Malaysia Resort, Thila Munusamy berkata Legoland akan menawarkan pengunjung MATTA Fair diskaun eksklusif dan beberapa pakej percutian mesra keluarga terbaik.

“Tahun ini, pengunjung yang membeli lebih daripada tiga Pas Triple Park di pameran tersebut layak menerima Set Kereta Api Legoland eksklusif secara percuma, manakala pelanggan yang membeli lebih daripada lima Pas Triple Park akan menerima tambahan Set Istana Legoland eksklusif,” katanya.

Sumber: BERNAMA