Posted on: 03/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat antaranya untuk memasukkan negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo.

Rang Undang-Undang bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan itu dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Menurut rang undang-undang itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada:-

(a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan 

(b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak. Pindaan juga dicadang pada Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan takrif Hari Malaysia dan menggantikan takrif Persekutuan selaras semangat Perjanjian Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 dan menurut perjanjian berhubung pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965.

Selain itu, rang undang-undang itu juga bertujuan meminda Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan perenggan (a) Fasal 6 iaitu “berhubung dengan Sarawak, seseorang yang merupakan warganegara dan yang tergolong dalam salah satu daripada ras yang dinyatakan dalam undang-undang Negeri sebagai ras asli bagi Negeri itu” serta memotong Fasal 7.  

Wan Junaidi berkata bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dibuat pada sesi Dewan Rakyat ini. Sementara itu, Wan Junaidi dalam satu kenyataan berkata RUU itu menandakan permulaan lembaran baharu dalam sejarah negara dan langkah pertama dalam mengembalikan hak dan prinsip asas yang persekutuan ini diwujudkan.

“Selepas beberapa percubaan dan bertahun-tahun bekerja keras, ini sememangnya detik penting dalam sejarah Persekutuan Malaysia. Lebih-lebih lagi bagi rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata usaha itu tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan dan restu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sumber: BERNAMA