Posted on: 03/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kerajaan negeri Sarawak sedang berusaha menjadikan Sibu sebagai bandar ketiga berstatus bandar raya menjelang tahun 2031 dengan beberapa projek besar dalam perancangan untuk mencapai wawasan itu, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Projek itu termasuk pelan pembangunan semula Bukit Assek, peluasan kawasan bandar dan komersial Sibu, menaik taraf infrastruktur digital dan membangunkan kawasan tanah gambut di Bukit Lima sebagai kawasan simpanan semula jadi.

Untuk dilaksanakan dalam pelan jangka panjang Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), beliau berkata projek itu akan membantu Sibu yang telah memenuhi prasyarat lain seperti mempunyai universiti, untuk mencapai status bandar raya.

Bercakap secara maya melalui Zoom sempena  sambutan ulang tahun ke-40 Majlis Perbandaran Sibu (SMC) di sini semalam, Abang Johari berkata SMC  telah mencapai kejayaan besar dalam mentransformasikan Sibu sejak 40 tahun yang lalu.

“Sekarang adalah masa untuk melihat ke hadapan iaitu 40 tahun akan datang atau sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang. SMC  mempunyai objektif untuk menjadikan Sibu sebagai bandar raya menjelang 2031 dan oleh itu untuk 11 tahun akan datang, kita perlu bekerja keras dan merancang supaya Sibu berjaya mencapai status bandar raya,” katanya. 

Jawatankuasa bagi pelan pembangunan semula Bukit Assek telah dibentuk dan Abang Johari telah meminta Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) mengenai perkara itu.

Menyifatkan ia sebagai tugas yang penting, Abang Johari berkata ia memerlukan kerjasama antara agensi serta penduduk di Bukit Assek. Beliau berkata Bukit Lima akan menjadi kawasan hijau apabila ia diisytiharkan sebagai simpanan semula jadi, sama seperti Taman Semula Jadi Piasau di Miri dan di Kuching, terletak berhampiran kawasan perindustrian bandar.

“Kemudian Bukit Kemuyang akan dihubungkan dengan Bukit Lima dan Kampung Nangka yang seterusnya akan menjadi kawasan bandar dan komersial kerana Sibu memerlukan tanah yang lebih baik untuk pembangunannya,” katanya.

Beliau menambah pelan pengembangan itu akan membantu meningkatkan hasil SMC daripada RM80 juta kepada RM100 juta setahun, dan rizabnya daripada RM25 juta kepada RM50 juta, yang merupakan satu daripada prasyarat untuk mencapai status bandar raya.

“Kita perlu merancang pembangunan Sibu sedemikian rupa supaya orang ramai akan datang dan pada masa yang sama kita boleh membangunkan hartanah di Sibu yang akan menjadi sumber pendapatan untuk bandar ini,” katanya dan menambah beliau menyokong penuh transformasi Sibu menjadi bandar raya pintar.

Abang Johari berkata kerajaan negeri juga bersetuju untuk menaik taraf infrastruktur digital Sibu sambil menambah Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak telah diarahkan untuk bekerjasama dengan SMC untuk mewujudkan keterhubungan internet yang pantas.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan kelulusan projek bangunan baharu SMC di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang Fasa Dua bagi memperingati ulang tahun majlis, dengan harapan ia akan menjadi simbol kepada SMC bergerak ke tahun 2030.

Sumber: BERNAMA