Posted on: 04/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Perayaan Deepavali yang diraikan penganut beragama Hindu di seluruh negara, tahun ini disambut meriah berbanding tahun lepas kerana mereka berpeluang pulang ke kampung merayakan hari yang penuh bermakna dengan keluarga, saudara mara dan sahabat tersayang.

Ceria melaram busana  tradisi berwarna-warni, namun mereka tetap  mengamalkan norma baharu bagi mengekang penularan  wabak COVID-19, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Di NEGERI SEMBILAN, Kuil Sri Balathandayuthapani, di Jalan Kuil, Seremban menjadi tumpuan penganut Hindu di negeri itu sejak pukul 8 pagi, bagi melaksanakan upacara keagamaan.

M. Sivakumar, 28, dari Rembau berkata sambutan pesta cahaya pada tahun ini amat bermakna kepadanya, kerana berpeluang menyambut Deepavali bersama ahli keluarga walaupun diadakan secara sederhana.

Di PULAU PINANG, pengerusi Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, Datuk R. Subramaniam berkata penganut Hindu gembira, kerana dapat meraikan sambutan Deepavali dengan mengunjungi kuil untuk upacara sembahyang serta aktiviti sambutan Deepavali secara fizikal, selepas 18 bulan tidak dapat melakukannya akibat pandemik COVID-19.

“Ramai orang mula mengunjungi kuil dari pukul 6 pagi tetapi kami hanya membenarkan 50 orang masuk pada satu-satu masa. Penganut Hindu dapat meraikan sambutan Pesta Cahaya dengan meriah tahun ini berbanding tahun lepas,” katanya.

Di PERAK, tinjauan mendapati penganut agama Hindu mula hadir seawal pukul 7 pagi bagi melakukan upacara keagamaan, dengan mengamalkan SOP sebagai langkah mengekang penularan COVID-19 yang ditetapkan Kuil Kallumalai Arulmigu Subramaniar di Gunung Cheroh, Ipoh, di sini.

Pengerusi kuil M. Vivekanda berkata sambutan perayaan kali ini lebih meriah berbanding tahun lepas,  dan makanan ‘vegetarian’ serta  manisan, hanya diberikan secara bungkus kepada pengunjung.

Di JOHOR, penganut agama Hindu di sekitar Johor Bahru mula mengunjungi Kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam di Jalan Ungku Puan atau dikenali sebagai Little India Johor Bahru, seawal pukul 7.30 pagi dengan memakai pakaian berwarna-warni sempena perayaan Deepavali.

Bendahari Pengurusan Kuil Arulmigu Rajamariamman Devasthanam S. Murali berkata pihaknya tidak mengabaikan  SOP yang ditetapkan KKM, dan pengunjung yang lengkap divaksin sahaja dibenarkan masuk.

“Tahun ini lebih meriah sedikit tetapi tidak semeriah seperti sebelum pandemik, yang mana dahulu awal pagi kira-kira 800 hingga 1,000 pengunjung sudah hadir ke sini, namun sekarang kita dah maklumkan hanya 100 hingga 150 orang sahaja dibenarkan masuk pada satu masa,” katanya.

Di PAHANG, penganut Hindu mula hadir memenuhi Kuil Sri Sithi Vinayagar di Jalan Bukit Ubi, di sini sekitar 8 pagi dengan busana tradisi berwarna-warni kaum itu, lengkap berpelitup muka bagi mematuhi SOP ditetapkan.

P. Vijaya Kumari, 53, yang hadir ke kuil berkenaan bersama suaminya R. Ramesh, 56, berkata perayaan kali ini lebih meriah berbanding tahun lepas  kerana dapat berkumpul bersama dua anaknya yang masing-masing menetap di Kuala Lumpur dan Johor.

Di SELANGOR, tinjauan di Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam Midlands, Seksyen 7, Shah Alam, mendapati para pengunjung beratur menunggu giliran dan mengimbas kehadiran di aplikasi MySejahtera serta mengambil suhu badan, sebelum memasuki kuil untuk bersembahyang. 

Pengerusi Kuil tersebut R.Mohanraj, 64, berkata upacara hari ini berjalan lancar, kerana pengunjung mematuhi  SOP di rumah ibadat  itu yang merupakan norma yang diamalkan rakyat negara ini sejak tahun lepas.

Di SABAH, upacara sembahyang  serta aktiviti sambutan Deepavali di Kuil Sri Pasupathinath Alayam di Bukit Padang, di sini berjalan lancar dan pengunjung mematuhi SOP ditetapkan.

Presiden kuil tersebut, Datuk Dr K. Mathavan berkata pihaknya amat mengutamakan pematuhan SOP termasuklah lengkap divaksinasi, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial. 

Di KEDAH, tinjauan di Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam di Alor Setar mendapati keadaan di sini terkawal dengan pematuhan SOP yang baik, tiada kesesakan dan penganut Hindu kelihatan ceria menyambut Deepavali.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Kedah, Azman Nasrudin berkata perayaan kali ini disambut dengan lebih meriah apabila majoriti rakyat negeri itu telah lengkap divaksin.

Sumber: BERNAMA