Posted on: 04/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kesatuan dalam perbezaan adalah kehebatan sebenar Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Merujuk suasana perayaan Deepavali yang disambut penganut beragama Hindu hari ini, beliau berkata rakyat berbilang bangsa bersama-sama meraikannya dengan penuh harmoni.

“Seronok melihat tetamu-tetamu yang berbilang bangsa sama-sama meraikan perayaan ini dengan penuh harmoni.

“Mungkin di negara lain suasana seperti ini sukar dilihat. Namun ini adalah perkara biasa di Malaysia. Kesatuan dalam perbezaan, itulah kehebatan sebenar Keluarga Malaysia,” menurutnya dalam catatan di laman Facebook.

Perdana Menteri turut berkongsi tiga keping gambar ketika beliau berkunjung ke rumah bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S. A. Vigneswaran hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar serta Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique. 

Sumber: BERNAMA