Posted on: 05/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Menteri Luar Australia Senator Marise Payne akan mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Malaysia mulai hari ini hingga 7 November, serta menghadiri Mesyuarat Tahunan Menteri-menteri Luar Malaysia-Australia (AFMM) ke-4.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Payne akan mempengerusikan mesyuarat itu secara bersama pada Sabtu. AFMM kali ini adalah mesyuarat pertama yang diadakan selepas kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Australia melancarkan Kerjasama Komprehensif Strategik pada 27 Januari 2021,menurut kenyataan Kementerian Luar.

Selain itu, Senator Payne dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Malaysia dan Australia ialah rakan strategik yang rapat dan penting. Lawatan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada,  terutamanya di bawah kerangka CSP yang meliputi bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertahanan, hubungan antara rakyat dan kerjasama pasca COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Lawatan berkenaan akan dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 di Malaysia.

Sumber: BERNAMA