Posted on: 05/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Universiti Teknologi Petronas (UTP) muncul sebagai universiti swasta terbaik dan kedua terbaik dalam kalangan universiti Malaysia, menurut Times Higher Education (THE) Emerging Economies Rankings 2022.

Naib Canselor UTP Profesor Ts Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata universiti berkenaan kini berada pada kedudukan ke-60, melonjak dua anak tangga berbanding kedudukan ke-62 sebelum ini.

Katanya UTP berjaya menyerlah dengan memperoleh markah tertinggi dalam penyelidikan di negara ini dan telah meningkat dengan ketara dalam pemetikan dan skor tinjauan antarabangsa.

Menurut  beliau universiti amat berbangga dengan pencapaian ini dan akan terus berusaha untuk meningkatkan kedudukannya. “Kami berjaya mengukuhkan kedudukan kami dalam kalangan universiti terbaik di negara yang ekonomi yang sedang pesat membangun.

“Pencapaian ini membuktikan usaha gigih dan ketekunan kami dalam menyampaikan komitmen terhadap semua pihak berkepentingan universiti, terutamanya syarikat induk kami Petronas, pelajar, ibu bapa, penaja dan rakan usaha sama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Edisi 2022 THE Emerging Economies Rankings merangkumi 698 universiti dari negara yang kata  dikelaskan oleh Kumpulan FTSE Bursa Saham London sebagai negara yang mempunyai pertumbuhan ekonomi yang maju, muncul peringkat kedua atau sempadan.

Indikator kedudukan itu menggunakan 13 penunjuk prestasi yang ditentukur dengan teliti dan digunakan dalam semua ranking THE.

UTP juga berada pada kedudukan ke-72 dalam QS Asia University Rankings 2022 dengan peningkatan markah dalam reputasi akademik, pemetikan setiap kertas kajian, kertas kajian setiap fakulti, rangkaian penyelidikan antarabangsa serta pertukaran keluar dan masuk pelajar.

Sumber: BERNAMA