Posted on: 05/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Nelayan tradisional di Kampung Pulau Gajah, Sabak di Pengkalan Chepa, di sini mula ‘berkemas’ dengan menaikkan bot masing-masing ke daratan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Tinjauan di perkampungan nelayan itu hari ini, mendapati kira-kira 40 nelayan bergotong-royong menaikkan bot atau lebih dikenali sebagai ‘perahu kolek’ ke atas tebing.

Ketua Jaringan Perikanan Pulau Gajah Nik Ruzulaili Nik Yusoff berkata kesemua bot perlu dinaikkan ke darat kerana nelayan sudah tidak turun ke laut ekoran cuaca yang tidak menentu menjelang kedatangan Monsun Timur Laut.

Beliau yang juga ketua pangkalan bot di situ berkata hari ini sebanyak sembilan buah bot ditarik ke darat dengan hanya menggunakan kudrat manusia.

“Di kampung ini sahaja ada lebih kurang 40 bot atau perahu kolek, manakala selebihnya bot gentian kaca.

“Semua sudah sepakat untuk menaikkan bot ke daratan kerana tidak berani turun menangkap ikan disebabkan cuaca tidak menentu dan boleh membahayakan nyawa nelayan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Nik Ruzulaili berkata bot ditarik menggunakan tali dengan dilapik kayu bulat yang bertindak sebagai roda supaya bot dapat bergerak dengan mudah dan dilakukan seawal 7 pagi kerana mengambil kesempatan ketika air pasang.

“Jika kerja-kerja menarik bot lambat dilakukan, paras air akan surut menjadikan tebing lebih curam dan bot sukar dinaikkan ke daratan,” katanya.

Menurutnya selepas ini nelayan akan berehat panjang dan melakukan apa sahaja kerja termasuk sebagai buruh binaan bagi menampung perbelanjaan harian.

Seorang nelayan yang ditemui, Mohd Rizuwan Ramli, 40, berkata dalam tempoh ‘berehat’ itu, nelayan biasanya akan mengambil kesempatan membaiki bot seperti menampal bot yang bocor, mengecat, menukar kayu, menjahit pukat dan sebagainya.

Katanya mereka biasanya akan berehat dari awal November dan kembali menangkap ikan di laut pada penghujung Februari tahun hadapan.

Sumber: BERNAMA