Posted on: 05/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kedah meningkat kepada 954 orang daripada 266 keluarga pagi ini berbanding 932 orang daripada 262 keluarga petang semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mohd Muaz Mohd Yusof berkata setakat 8 pagi tadi sebanyak 13 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi di lima daerah di negeri ini.

“Satu PPS di Pokok Sena iaitu Surau Kampung Permatang Limau yang menempatkan 25 mangsa ditutup pada 6 petang semalam, manakala satu PPS di Baling iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tembak A dibuka semula 5.45 pagi tadi bagi menempatkan 10 mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Muaz berkata daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 592 orang daripada 174 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS. Kesemua PPS tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent, SK Titi Gajah, SK Convent, SK Haji Wahab, SK Darul Hikmah, SK Suka Menanti dan SK Langgar. Daerah Pendang pula mencatatkan seramai 287 mangsa daripada 75 keluarga yang ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah dan Dewan Cenderawasih.

Katanya hanya terdapat satu PPS masih beroperasi di Pokok Sena iaitu SK Tualang yang menempatkan seramai 10 mangsa daripada tiga keluarga manakala di Kubang Pasu, seramai 55 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang dan SK Malau.

Sumber: BERNAMA