Posted on: 07/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi agensinya Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), membelanjakan RM2.5 juta untuk projek ameniti sosial di seluruh negeri itu pada tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata peruntukan itu yang lebih tinggi berbanding tahun lepas (hanya RM1.5 juta), disalurkan untuk 77 kategori kerja dengan 67 daripadanya telah siap, manakala selebihnya sedang dalam pelaksanaan.

“Antara projek ameniti sosial ini termasuk menaik taraf dan baik pulih longkang, dewan serba guna dan surau serta menurap ruang parkir dewan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Dewan Orang Ramai Desa KEDA Bukit Tukang Jusoh dekat sini, hari ini.

Mahdzir berkata kerja penyelenggaraan terhadap infrastruktur di 57 perumahan KEDA di seluruh negeri sangat penting kerana kira-kira 70 peratus daripada jumlah perumahan itu sudah berusia lebih 20 tahun.

“Ada dewan yang usianya sudah 10 tahun, tetapi tak buat penyelenggaraan langsung, aspek penyelenggaraan ini perlu melibatkan penduduk. KEDA kena mulakan macam mana nak libatkan penduduk secara berkala, misalnya dalam tempoh dua minggu orang ini buat aktiviti ini, dua minggu yang akan datang orang lain pula, ia bukan paksaan tetapi secara berjadual,” katanya.

Beliau berkata KPLB akan terus melaksanakan mandat utamanya menyediakan segala keperluan asas, demi kesejahteraan masyarakat luar bandar sebagai satu Keluarga Malaysia.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata kementeriannya melalui KEDA merancang untuk membangunkan kawasan Tanjung Dawai yang mempunyai kepelbagaian aktiviti termasuk perikanan dan keusahawanan, sekali gus menjadi lokasi pelancongan menarik.

Katanya ia sebagai sebahagian perancangan membandarkan kawasan desa, seperti usaha Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ingin melaksanakan semula dasar Membandarkan Luar Bandar.

“Jadi, sebagai satu agensi, KEDA boleh memainkan peranan mengangkat Tanjung Dawai dengan mengubah wajah landskapnya.  KEDA  kena kerjasama dengan (antaranya) Majlis Perbandaran Sungai Petani, pihak pejabat daerah, LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia) dan kerajaan negeri,” katanya. Semalam,

Perdana Menteri dilaporkan dalam media bahawa akan melaksanakan semula dasar Membandarkan Luar Bandar bagi memacu pembangunan di kawasan itu sekali gus dapat membasmi kemiskinan.

Sumber: BERNAMA