Posted on: 08/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Persidangan Dewan Rakyat hari ini antara lain akan mengupas isu berkenaan langkah serta tindakan undang-undang bagi membendung perjudian dalam talian. Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persoalan itu akan diajukan oleh Noorita Sual (PH-Tenom) kepada Menteri Dalam Negeri.

Selain itu, Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) akan mengemukakan soalan kepada Menteri Belia dan Sukan mengenai perancangan untuk melaksanakan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam usaha merealisasikan cadangan pembinaan sekolah sukan khusus bagi pelajar kurang upaya.

Ahmad Hassan (Warisan-Papar) pula meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan dasar dan program yang perlu diadakan bagi mewujudkan sumber pendapatan baharu di samping mengekalkan pekerjaan sedia ada di Sabah.

Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari kesembilan hari ini akan diteruskan dengan sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022).

Rang undang-undang itu yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Okt telah dibahaskan 42 Ahli Parlimen minggu lepas.

Menurut takwim Dewan Rakyat di laman rasmi Parlimen, perbahasan rang undang-undang itu di peringkat dasar akan diadakan sehingga Khamis ini sebelum sesi jawapan menteri berkaitan bermula 15 Nov. Dewan Rakyat akan bersidang sehingga 16 Disember.

Sumber: BERNAMA