Posted on: 08/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Orang ramai dinasihatkan agar tidak menjadikan fenomena air pasang besar sebagai pesta untuk bersuka ria, bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata malapetaka atau bala, boleh sahaja berlaku walaupun sesuatu aktiviti itu dianggap sekadar hiburan atau riadah.

“Masyarakat kita beranggapan banjir (termasuk air pasang) itu bukan bencana kerana keghairahan untuk bermain air. Kita (masyarakat) seharusnya peka dengan keadaan sekeliling kerana apa yang pasti kita sebagai penduduk di kawasan itu lebih tahu keadaan sekeliling.

“Sebagai contoh, kita tinggal di suatu kawasan penempatan, kita tahu apa risiko yang ada sekiranya terjadi bencana, jadi elak berbuat demikian,” katanya kepada pemberita.

Katanya, antara insiden yang boleh dijadikan iktibar ialah kejadian meragut nyawa seorang anggota bomba Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh pada 20 Okt lepas, apabila wira negara yang lengkap dengan peralatan untuk menyelamat mangsa itu, turut terkorban.

Mohammad Hamdan berkata pihaknya sendiri tidak boleh melarang mana-mana individu untuk melakukan tindakan sedemikian, namun apa yang pasti nasihat boleh diberikan dan perlu cegah sebelum terlambat.

Terdahulu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada 68 anggota dan pegawai yang menerima pingat kebesaran jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020.

Beberapa negeri termasuk Kedah, Perak, Selangor dan Johor sebelum ini dilaporkan mengalami fenomena air pasang besar sejak Khamis lepas (4 November) dan dijangka berakhir semalam.

Sumber: BERNAMA