Posted on: 11/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

BANDUNG-Dasar industri pertahanan dan keselamatan negara dijangka dilancarkan dalam tempoh satu atau dua bulan lagi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau berkata pelancaran dasar itu akan memperkasakan industri pertahanan negara yang merupakan salah satu fokus utama Kementerian Pertahanan.

Ismail Sabri berkata demikian kepada media setelah melawat fasiliti pengeluaran produk ketenteraan dan komersil Indonesia milik PT Pindad, yang terlibat dalam industri pertahanan sejak 1983, di sini, hari ini. 

Lawatan itu merupakan aturcara terakhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Indonesia. 

“Jadi bertepatanlah lawatan ini untuk kita lihat daripada segi kerjasama dengan pihak Indonesia,” katanya dan menambah kata objektif lawatan ke PT Pindad adalah untuk melihat perkembangan industri pertahanan di Indonesia. 

“Mungkin selepas ini kita akan lihat daripada segi opportunity atau peluang bagaimana kita boleh mengadakan kerjasama di antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Dasar industri pertahanan dan keselamatan negara yang sedang digubal akan menyediakan hala tuju menyeluruh dalam mengurangkan kebergantungan terhadap aset dan peralatan dari luar negara.

Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi pada September lalu, dasar itu antara lain memberi tumpuan berhubung pembangunan produk dan perkhidmatan serta pembangunan bakat.

Dalam lawatan itu beliau diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Indonesia, Adlan Mohd Shaffieq.

Turut hadir bagi pihak Indonesia pula  Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto,  Direktur Utama PT Pindad  Abraham Mose selain Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia Nadiem Anwar Makarim yang juga menteri pengiring.

Sementara itu,  PT Pindad merupakan syarikat milik kerajaan Indonesia yang  menghasilkan produk  ketenteraan dan komersial antaranya  pistol, senapang, peluru, kenderaan khusus termasuk kereta perisai, produk pyroteknik, bahan peledak, produk mekanikal, elektrikal optikal dan opto elektronik.

Syarikat itu adalah pembekal utama persenjataan dan amunisi untuk Tentara Nasional Indonesia dan badan beruniform lain bagi menyokong keupayaan pertahanan dan keselamatan Indonesia.

PT Pindad turut menjalankan aktiviti reka bentuk, pembangunan, kejuruteraan dan fabrikasi serta penyelenggaraan. Fasiliti pengeluaran di sini berkeluasan 66 hektar dengan fasiliti terbesarnya di Malang, di Jawa Timur, berkeluasan 166 hektar.

Sumber: BERNAMA