Posted on: 11/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan kenaikan nilai ambang keterhutangan syarikat daripada RM10,000 kepada RM50,000 kekal tanpa penetapan tempoh.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melihat keputusan itu sebagai usaha untuk membantu golongan peniaga terutama yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Nilai ambang (keterhutangan) pada masa itu memang kita menetapkan sehingga tempoh (tertentu) tetapi sekarang kita putuskan ini akan berterusan dan tiada tempoh lagi…SSM dan KPDNHEP melihat ini adalah satu cara untuk membantu golongan peniaga yang terkesan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Nanta menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang ingin tahu setakat mana inisiatif nilai keterhutangan yang dinaikkan itu telah membantu syarikat yang terkesan.

Sebelum ini, SSM menaikkan nilai ambang keterhutangan daripada RM10,000 kepada RM50,000 sebagai langkah sementara iaitu bermula 23 April 2020 hingga 31 Mac 2021 supaya dapat mengurangkan risiko syarikat dikenakan tindakan penggulungan.

Mengenai perkembangan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) yang diwujudkan bertujuan membantu golongan B40 yang terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19, Nanta berkata 21,397 permohonan melalui skim itu telah didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dalam tempoh 1 Jan hingga 31 Oktober lepas. 

“Daripada jumlah itu, sebanyak 15,053 permohonan adalah daripada golongan B40 manakala 6,344 permohonan diterima daripada pelajar institusi pengajian tinggi sepenuh masa.

“Sebanyak 21,107 perniagaan milikan tunggal dan 290 perniagaan perkongsian pula telah didaftarkan melalui SPPP dalam tempoh itu,” katanya menjawab soalan asal Cha Kee Chin (PH-Rasah).

Cha ingin tahu mengenai inisiatif SSM dalam membantu golongan B40 yang terkesan akibat pandemik COVID-19 untuk memulakan semula perniagaan mereka sebaik sahaja sektor ekonomi mula dibuka dan bagaimana Bajet 2022 boleh memanfaatkan golongan itu.

“SSM masih membuka peluang serta menyasarkan lebih 100,000 pendaftaran baharu melalui skim ini untuk merancakkan lagi fasa pemulihan ekonomi negara akibat kemelesetan pendapatan yang terjejas ekoran pandemik COVID-19 yang dirancangkan kerajaan di dalam Bajet 2022. 

“Skim ini diharap dapat memanfaatkan golongan B40 dan pelajar sepenuh masa di institusi pendidikan tinggi awam serta swasta, politeknik, kolej, institut kemahiran dan pusat kemahiran untuk mendaftarkan perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 tanpa dikenakan fi bagi pendaftaran baharu serta maklumat perniagaan,” katanya.

Sumber: BERNAMA