Posted on: 11/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan tiga insentif kerajaan negeri itu kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Sarawak (UTS).

Insentif itu, yang merupakan inisiatif untuk menjadikan pendidikan mampu milik dan dapat diakses oleh rakyat Sarawak kurang berkemampuan, ialah Biasiswa Asasi UTS, Biasiswa Prasiswazah dan Pascasiswazah UTS dan Skim Bursari UTS.

Beliau berkata pelajar juga boleh mendapatkan bantuan kewangan lain daripada Yayasan Sarawak dalam bentuk pinjaman pelajaran tanpa faedah untuk menampung pembelajaran serta kos sara hidup semasa belajar di universiti itu.

“Dengan adanya biasiswa dan insentif kewangan yang lain, ia akan memberi lebih banyak peluang kepada rakyat Sarawak di semua peringkat untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Sarawak yang merupakan milik penuh Kerajaan Negeri Sarawak.

“Inisiatif ini juga akan memberi akses yang lebih besar dalam pendidikan tinggi kepada pelajar yang berada di kawasan luar bandar terutama  pelajar daripada kategori B40 dan M40,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan universiti itu semalam.

Abang Johari berkata Biasiswa Asasi adalah dalam bentuk yuran pengajian berjumlah RM10,000 bagi setiap pelajar dan kerajaan negeri akan membelanjakan sebanyak RM4.5 juta hingga RM7 juta setahun bergantung kepada bilangan maksimum 700 pelajar bagi program asasi di UTS.

Beliau berkata Biasiswa Prasiswazah dan Pascasiswazah merupakan skim yang memberi pengurangan 50 peratus yuran pengajian untuk semua program pra serta pascasiswazah dan berdasarkan unjuran lima tahun, komitmen kerajaan adalah berjumlah RM17.2 juta hingga RM27 juta setahun bergantung kepada kapasiti keseluruhan pelajar 4,000 orang.

Skim Bursari itu pula adalah kerjasama antara UTS dan Yayasan Sarawak dalam usaha membantu rakyat Sarawak daripada kategori B40 dan M40 dengan pengurangan 80 peratus yuran pengajian.

“Skim ini akan menampung seramai 100 pelajar Bumiputera serta 100 pelajar bukan Bumiputera setahun dan berdasarkan unjuran lima tahun,  akan melibatkan komitmen kerajaan negeri berjumlah RM3 juta setahun,” katanya.

Abang Johari berkata melalui insentif itu, UTS yang sebelum ini dikenali sebagai Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) dijangka mampu meningkatkan bilangan pelajar sehingga 4,000 orang menjelang 2024.

Beliau turut mengumumkan persetujuan kerajaan negeri berhubung cadangan Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee untuk menubuhkan Kursi Penyelidikan Datuk Patinggi Dr Wong Soon Kai di dalam Teknologi dan Inovasi Peranti Perubatan dengan pembiayaan yang ditaja oleh Sarawak melalui Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi dengan geran berjumlah RM2 juta.

Abang Johari berkata kursi itu adalah bagi memperingati Dr Wong, yang merupakan perintis pakar bedah tempatan dari Sibu, dan beliau yakin keluarga mendiang akan bersetuju dengan penubuhan tersebut.

Dr Wong, yang juga Presiden ketiga Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan bekas Timbalan Ketua Menteri, meninggal dunia pada 22 Mac 2017.

Pengumuman insentif dan penubuhan kursi itu adalah sempena perasmian UCTS yang beroperasi sejak 1 April 2013 sebagai sebuah universiti penuh selepas menerima anugerah tersebut daripada Kementerian Pengajian Tinggi pada 20 Nov tahun lepas. Universiti itu kini dikenali sebagai UTS berkuat kuasa 8 November lepas.

Sumber: BERNAMA