Posted on: 11/11/2021 Posted by: Portal Maklumat Rakyat Comments: 0

Pembangunan vaksin COVID-19 tempatan akan dilengkapi pensijilan halal sebagai nilai tambah, berbanding pelalian sama dihasilkan negara lain. Ini kerana penghasilan vaksin tempatan turut membabitkan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim, berkata keadaan itu jelas memberi kelebihan berkaitan pengkomersialan vaksin COVID-19 keluaran tempatan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, ia antara lain berkemungkinan muncul sebagai vaksin COVID-19 pertama di dunia yang mempunyai tanda niaga halal yang diterima di seluruh dunia.

“Selain pembabitan NPRA yang memastikan vaksin ini melalui proses sepatutnya bagi memudahkan kelulusan, penyertaan JAKIM daripada
peringkat awal juga akan memberi kelebihan kepada kita.

“Barangkali kita akan menghasilkan vaksin mempunyai trademark (tanda niaga) halal pertama di dunia… ini kelebihan kepada kita,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (AMANAH-Lumut) berkenaan kelebihan atau perbezaan penghasilan vaksin COVID-19 tempatan bagi menarik perhatian dunia.

Ahmad Amzad berkata, penghasilan vaksin berkaitan teknologi mRNA tempatan juga dilaksanakan mengikut perkembangan semasa dan varian baharu.

“Begitu juga vaksin adenovirus kalau tak silap saya, vaksin yang aktif dihasilkan UPM (Universiti Pertanian Malaysia) juga mengikut perkembangan berhubung varian baharu yang berkembang ketika ini,” katanya.

Menjawab soalan asal, Ahmad Amzad berkata, kedua-dua projek vaksin COVID-19 Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) kini berada di peringkat makmal, iaitu bukti konsep sebelum kajian praklinikal (haiwan) dilaksanakan.

Katanya, penghasilan vaksin COVID-19 itu akan mengambil masa untuk mencapai tahap keselamatan dan keberkesanan melalui kajian klinikal fasa ketiga serta kelulusan NPRA, sebelum dapat digunakan.

“Perkembangan semasa di peringkat industri pula menunjukkan, terdapat dua syarikat dalam negara sudah mengembangkan kemampuannya sendiri untuk melakukan proses penting dalam pengeluaran vaksin iaitu proses fill & finish vaksin COVID-19.

“Syarikat tersebut ialah Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd dengan vaksin CoronaVac dan Solution Biologics Sdn Bhd dengan vaksin Cansino.

“Walaupun matlamat ini memerlukan komitmen tinggi semua pihak, dijangka melalui pendekatan ‘whole of nation’, Malaysia akan berupaya meningkatkan kapasiti penghasilan vaksin sendiri pada masa hadapan,” katanya.

Sumber: Berita Harian